Hari Khamis, 13 Desember 2007, aku mengunjungi Times Square, Kuala Lumpur dengan tujuan yang sudah terpahat dalam hati sejak beberapa hari lalu untuk ke gedung buku Borders. Sudah agak lama aku tidak keluar menghabiskan masa terluang di toko buku lantaran kesibukan dengan bisnes katering. Hari ini aku menjelajah rak-rak buku; dari fiksyen bahasa Inggeris ke buku umum ke bahagian agama, hinggalah perhentian terakhir ke sudut buku-buku bahasa Melayu.
Memang ada beberapa tawaran menarik di Borders, namun semuanya untuk buku berbahasa Inggeris. Tiada langsung tawaran bagi buku bahasa Melayu bagi memujuk pembaca, tambahan pula sudut pameran adalah sekadar satu sudut, yang kurang menggamit pengunjung untuk ke situ. Secara peribadi, aku kecewa dengan Borders kerana kelihatannya menganaktirikan buku berbahasa Melayu.
Aku keluar sebentar dari bangunan itu untuk membasahkan tekak yang kering di satu kedai mamak, dengan niat untuk kembali ke Borders. Persekitaran yang bingit dan sesak di bawah bangunan Times Square menghambat mood aku untuk terus berada di situ. Aku semakin benci dengan pencemaran bunyi di kota metropolitan ini.
Kecewa dengan suasana toko buku Borders dan persekitaran yang tidak kondusif, aku menahan teksi untuk ke Ampang Point. Di sana terdapat kedai buku Popular yang sudah diubah suai. Walaupun sudah beberapa kali aku ke sana sejak pengubahsuaian selesai, perasaan jemu malu-malu untuk bertandang. Lagi pun Popular sedang mengadakan jualan buku-buku dengan potongan harga yang menarik, terutamanya untuk pemegang kad keahlian rangkaiannya.
Sepanjang masa di sana, masa berlalu dengan pantas kerana tahu-tahu sahaja ada suara keluar dari corong bunyi, lebih kurang begini, “Terima kasih kerana mengunjungi Popular. Kedai kami akan ditutup dalam masa 15 minit lagi.”
Kalau ikut hati, aku masih mahu berada di situ. Belum puas rasanya. Lantas dua buah buku fiksyen bahasa Melayu dalam genggaman terus aku bawa ke kaunter bayaran. Buku apa? Rahsia!
0 comments:
Post a Comment