Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Minggu lepas, dari 23 hingga 28 Julai 2007, saya dan krew sibuk dengan tempahan katering dari pelbagai pihak. Satu minggu yang amat bermakna bagi saya kerana ianya melibatkan 17 penghantaran makanan, termasuk pada hari Sabtu 28 Julai di Rumah PENA, Kuala Lumpur (dua kali penghantaran).

Program Apresiasi Novelis (PAsiNo), Baca Naskah Ramlee Awang Murshid yang julung-julung kali diadakan oleh Kelab Peminat Novel Alaf 21 (Alaf 21 FC) pada 28 Julai di Rumah PENA sungguh bermakna kepada saya. Ini bukan sahaja kerana saya menyediakan perkhidmatan katering, malah dari awal lagi saya memang menunggu untuk berjumpa dan berbual-bual dengan saudara Remlee Awang Murshid, salah seorang novelis kegemaran saya.


Saya dan isteri tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Ramlee dan mengambil kesempatan mendapatkan tandatangan beliau bagi tiga belas novel, dari Igauan Maut hingga Cinta Sang Ratu.


Banyak rahsia dikongsi bersama, dan yang paling istimewa ialah kata-kata Ramlee bahawa doa memainkan peranan penting bagi seorang Islam. Dengan doa, insyaAllah, Tuhan memberi hambaNya rezeki dan kemudahan dalam menjalani hidup. Itulah juga prinsip saya dalam melaksanakan bisnes katering ini.


Terima kasih diucapkan kepada Presiden Alaf 21 FC; Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd, En. Norden Mohamed; Ramlee Awang Murshid; rakan baru Budi, dan semua hadirin program tersebut kerana memuji masakan yang Lusiana Catering sediakan.


Secara khusus, Budi berkata kepada saya, “Masakan anda marvelous.”


Bagi Ramlee, saya secara peribadi tidak sabar menunggu novel seram Ungu Karmila. Dengar cerita Ramlee juga sedang menyiapkan novel ADAM 2, betulkah?


Dan saya turut gembira kerana dinobatkan sebagai salah seorang yang paling awal sampai untuk program ini ke Rumah PENA, dengan dihadiahkan sebuah novel terbaharu Alaf 21, Sentuhan Cinta oleh Haiza Najwa. Saya sampai pada pukul 7.40 pagi!


Saya akan masukkan lagi entri mengenai PAsiNo ini di lain ketika, bila saya mendapat gambar-gambar yang dirakam oleh pihak Alaf 21 FC. Tunggu…

0 comments:


Photobucket
top