Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Komuniti Kedai Buku Dalam Internet

Banyak kedai buku terasa terancam dengan kehadiran gergasi dalam talian yang menjual buku dengan menggunakan laman web internet. Bagi sesetengah mereka menganggap bahawa kedai buku maya menidakkan perdebatan intelektual dan mengehadkan kebebasan pilihan. Menurut mereka lagi, kehadiran sebuah kedai besar dalam internet akan mengurangkan kepelbagaian yang wujud bagi penjualan buku.

Itu pandangan mereka. Kebenarannya mungkin boleh diperdebatkan, malah medium internet memungkinkan keberkesanan yang lebih bagi pekedai buku. Banyak kedai buku kecil boleh mendapatkan peluang yang luar biasa dari internet. Satu contoh ialah sebuah kedai buku Powells (www.powells.com) di Portland, Oregon Amerika Syarikat yang mempunyai kelainan dengan mempunyai inventori yang besar bagi buku-buku yang telah digunakan. Semuanya diletakkan dalam talian. Hasilnya, peningkatan penjualan buku terpakai dari nisbah 50:50 berbanding dengan buku baru kepada 85 peratus. Pengkhususan kedai buku ini digunakan sebaik mungkin dalam kedai maya, yang mana lain-lain kedai buku maya tidak mempunyai senarai buku terpakai sebanyak itu.

Jenis buku dalam kategori gambar foto dan seni merupakan buku yang mempunyai sedikit penggemar. Betul ke? Ada satu contoh, iaitu kedai buku Photo-Eye(www.photoeye.com) di New Mexico, Amerika Syarikat. Menurut pangasasnya, mereka tidak tahu apa yang hendak dijangkakan apabila kedai buku maya diletakkan dalam internet pada tahun 1997. Hasilnya? Pesanan datang serta merta sebaik sahaja kedai buku Photo-Eye berada dalam talian. Pastinya semua orang dari seluruh dunia boleh datang ke kedai buku mereka.

Apa yang boleh dipelajari dari dua contoh di atas? Kedua-dua mereka menawarkan kepada pelanggan buku-buku yang tidak ditawarkan oleh Amazon.com dan Barnesandnoble.com. Amazon dan Barnes & Noble tidak mempunyai pengkhususan seperti Powells dan Photo-Eye. Penjualan buku lama, terpakai dan buku khusus telah berjaya diambil kesempatan oleh mereka dengan menggunakan web yang boleh dicapai dari seluruh dunia.

Di Malaysia, antara kedai buku terawal mengadakan jualan dalam talian ialah Alaf 21 Sdn Bhd (www.alaf21.com.my), yang menerbitkan novel-novel Bahasa Melayu yang bermutu dan buku-buku agama kontemporari. Bayaran boleh dibuat secara pos, bayaran melalui bank, emel, perbankan telefon dengan kerjasama Maybank Kawanku dan melalui Maybank2u.com (www.maybank2u.com).

Dari pengalaman satu pihak yang telah berjaya, laman web yang menawarkan belian dalam talian adalah satu ‘pemberian’ kepada para peniaga. Pengguna dan peminat kedai buku tersebut tertanya-tanya alamat URL dalam internet bagi kedai fizikal tersebut. Dari sini dapat dibuat andaian bahawa kedai buku mesti mengadakan kedai maya bagi memastikan pelanggan tidak lari.

Kedai buku yang turut mempunyai kedai fizikal ialah seperti MPH Bookstores Sdn. Bhd. (www.mph.com.my), Popular (M) Sdn. Bhd. (www.popular.com.my), Kinokuniya (www.kinokuniya.com), Dawama Sdn. Bhd. (www.dawama.com), Creative Enterprise Sdn. Bhd. (www.cesb.net.my), PTS Publications & Distributors Sdn Bhd (www.bookcafe.com.my), dan Telaga Biru Sdn Bhd (www.telagabiru.net.my)

Penyediaan kedai buku maya menjadi satu faktor untuk mengekalkan pembeli. Mereka akan selalu ke sana, walaupun sudah berpindah tempat tinggal. Sebab itu kedai buku kecil tidak perlu takut untuk bersaing dengan kedai buku besar. Pastinya laman web yang disediakan menjadi penentu kejayaan sesebuah kedai dalam internet. Sebagai pengguna, apa yang dipentingkan ialah adanya buku yang dikendaki tanpa mengira kecil atau besarnya kedai tersebut.

Kedai buku dalam talian lain yang diasaskan di Malaysia ialah seperti Ujanailmu (www.ujanailmu.com.my), Pelanduk Publications (www.pelanduk.com), Pay Less Books Sdn. Bhd.(www.paylessbooks.com.my), dan Kedai e-Sastera (www.esastera.com/kedai).

Web juga membantu membina suatu komuniti bagi sebuah kedai buku. Komuniti ini bukan sahaja terhad persekitaran fizikal terdekat, malah ia akan melangkau sempadan negara. Komuniti akan merasa dekat apabila wujudnya sesi perbincangan dan wacana percambahan pemikiran bagi suatu tajuk atau buku tertentu.

Adakan pertemuan antara peminat dengan penggemar buku. Pertemuan boleh diadakan secara maya, tapi terasa dekat. Ini akan menimbulkan minat bakal pembeli bagi terus mengunjungi kedai buku maya dan melalui lawatan yang berterusan, ia bakal memujuk untuk membeli. Ingat, seperti mana di dunia nyata, faktor pujukan menjadi antara faktor penarik bagi pembelian.

0 comments:


Photobucket
top