6 Zulhijjah 1432H - Usai Asar 29 Oktober 2011, saya ke KL Sentral. Hati tidak akan tenang sebelum mengunjungi Ekspo Buku Islam di sana walaupun sekali. Malas mahu memandu kereta, saya menaiki teksi ke sana dan pulang ke rumah menaiki LRT.Hasil pancingan tidak banyak kali ini, hanya dua naskhah buku sahaja; (1) Syarah Al-Hikmah: Jilid 2 (RM50.00) dan (2) novel Lorong Kematian oleh Geidurrahman El-Mishry (pada harga diskaun 50%). Kedua-duanya terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.
Saya mengalu-alukan pesta dan ekspo buku di mana-mana sahaja di seluruh negara. Sejak mutakhir ini, kerap kali aktiviti berkaitan buku dan dunia keilmuan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pada mulanya ingin berlama-lama di ekspo tersebut, namun kurang tarikan menyebabkan saya hanya meluangkan lebih kurang satu jam lebih sahaja.
Daripada pemerhatian saya, elok penganjur Ekspo Buku Islam di KL Sental dari 26 Okt – 1 Nov. 2011, Sinergi Ilmu Sdn. Bhd., memikirkan perihal berikut:
(1) Ruang agak kecil dan tidak banyak buku-buku agama Islam dan berorientasikan Islam dipamerkan. Saya kira ruang yang lebih besar patut disewa dan lebih banyak penerbit dijemput bagi mengisi ruang lingkup Islam yang merangkumi seluruh kehidupan umat. Masih banyak genre buku-buku dan penerbitan Islam tidak diketengahkan dalam ekspo itu.
(2) Lokasi sudah strategik. Namun kurang aktiviti menjadikan ekspo ini suam-suam sahaja. Sepatutnya kosa kata ‘ekspo’ menjanjikan pelbagai acara kelimuan yang boleh memacu minda dan sanubari para pengunjung daripada kalangan pentaksub buku dan orang-ramai yang lalu lalang menuju ke destinasi masing-masing.











