
Hasil pancingan tidak banyak kali ini, hanya dua naskhah buku sahaja; (1) Syarah Al-Hikmah: Jilid 2 (RM50.00) dan (2) novel Lorong Kematian oleh Geidurrahman El-Mishry (pada harga diskaun 50%). Kedua-duanya terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.
Saya mengalu-alukan pesta dan ekspo buku di mana-mana sahaja di seluruh negara. Sejak mutakhir ini, kerap kali aktiviti berkaitan buku dan dunia keilmuan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pada mulanya ingin berlama-lama di ekspo tersebut, namun kurang tarikan menyebabkan saya hanya meluangkan lebih kurang satu jam lebih sahaja.
Daripada pemerhatian saya, elok penganjur Ekspo Buku Islam di KL Sental dari 26 Okt – 1 Nov. 2011, Sinergi Ilmu Sdn. Bhd., memikirkan perihal berikut:
(1) Ruang agak kecil dan tidak banyak buku-buku agama Islam dan berorientasikan Islam dipamerkan. Saya kira ruang yang lebih besar patut disewa dan lebih banyak penerbit dijemput bagi mengisi ruang lingkup Islam yang merangkumi seluruh kehidupan umat. Masih banyak genre buku-buku dan penerbitan Islam tidak diketengahkan dalam ekspo itu.
(2) Lokasi sudah strategik. Namun kurang aktiviti menjadikan ekspo ini suam-suam sahaja. Sepatutnya kosa kata ‘ekspo’ menjanjikan pelbagai acara kelimuan yang boleh memacu minda dan sanubari para pengunjung daripada kalangan pentaksub buku dan orang-ramai yang lalu lalang menuju ke destinasi masing-masing.

“Engkau tidak payah membeli buku, tulis buku sahaja,” katanya sambil tersenyum.
“Apa pula begitu, cikgu. Saya mesti banyak membaca buku, baharulah boleh menulis dengan baik,” saya menjawab.
Walaupun begitu, tahniah saya ucapkan kepada penganjur Sinergi Ilmu Sdn. Bhd. Satu permulaan yang baik untuk diteruskan di lain ketika.

Sebagai makluman pengunjung blog ini, KUIZM adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Khas Penubuhan Institut Pengajian Tinggi (LKPIPT), Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Buat permulaannya kolej universiti Islam ini menawarkan dua program iaitu Diploma Muamalat dan Kewangan Islam serta Diploma Dakwah dan Komunikasi. Bangunannya didirikan di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar.
KUIZM menawarkan kemasukan kepada pelajar-pelajar berkelulusan Sijil Menengah Ugama/Agama (SMU/SMA) dan / atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.
Menurut Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Dato' Mahfodz Mohamed, penubuhan KUIZM mempunyai beberapa objektif antaranya membuka peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan akidah supaya dapat menangkis segala salah faham terhadap Islam.
Selain itu, KUIZM juga bermatlamat melahirkan golongan intelektual dan profesional Islam yang boleh memimpin dan memberi sumbangan sebagai pendidik, pendakwah, pentadbir dan pengurus.
Tujuan utama saya ke sana ialah menyertai majlis keilmuan yang disampaikan oleh sang Murabbi Tuan Guru Dato' Seri Abd. Hadi Awang. Saya mencicip curahan ilmu sang Murabbi, mengupas tafsir Surah As-Saff selama lebih kurang setengah jam di luar dewan lantaran bahagian dalamnya sudah sendat dengan pemuda dan pemudi Islam.

Di akhir majlis bersama ribuan pemuda (mengikut laporan kehadiran berjumlah enam ribu), saya mengenggam erat tangan-tangan pejuang yang diangkat ke aras atas kepala bertasbih nama Allah dan irama perjuangan. Entah mengapa, gema irama merembeskan air mata saya. Syahdu dan sangat teruja.

Insya-Allah, saya akan menulis entri berkenaan buku Tafsir at-Tibyan Surah as-Saff karangan Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang di lain entri. Walaupun bukunya nipis, tetapi isinya sangat penting dan semestinya diperhalusi oleh para mujahid Islam dan semua pihak yang ingin memahami apakah itu jihad dalam perjuangan menegakkan suruhan Allah dan Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahu alaihiwasallam).
Terima kasih khas untuk sahabat Ustaz Riduan Mohd. Nor justeru memberikan ruang untuk saya menikmati sedikit lautan ilmu Allah melalui buku-buku terbitan Jundi, juga atas jemputan ke majlis tallaqi kitab. Saya seorang hamba Allah yang sering terlupa. Justeru melalui buku-buku dan majlis ilmu, saya mentaddabur al-Quran.
“Ya Allah berikan kekuatan untuk Jundi Resources dan semua stafnya terus berjuang dan berjihad dalam kaedah tersendiri. Demi jihad-Mu Allah, berikan mereka balasan syurga-Mu yang abadi.”
(Video Tafsir at-Tibyan Surah as-Saff)
Salah satu aktiviti saya ialah berbual-bual dan saling bertukar pandangan berkenaan dunia perbukuan negara. Kata Tuan Serinai Faqir, “Semalam selepas bergendang di majlis HSKU, sempat berbual panjang dengan Web Sutera dan Zonan Villa. Seronok dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan tentang seputar dunia penulisan dan juga karya saya. Terima kasih juga atas pendapat, pandangan dan komen yang diberikan.”
Saya menjawab status FB beliau begini, “Perkara baik dikongsi demi survival umat Melayu-Islam dan komuniti perbukuan Malaysia. Perihal yang kurang baik diperbaiki dan diperhalusi bersama, insya-Allah, Tuan Peniup Serunai. Bualan kita serta padangan yang dilontarkan ternyata membuka horizon minda.”
Tahniah kepada pemenang HSKU 2010 (lihat grafik)! Teruskan usaha penulisan kalian.

0 comments:
Post a Comment