Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

27 Muharram 1432H - Ahli jawatankuasa kerja PAS Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata beliau bersikap terbuka terhadap kritikan daripada mana-mana pihak berhubung buku terbarunya Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme, yang dihasilkannya dengan hasrat untuk memperbaiki organisasi parti.

"Jika ia baik untuk parti saya berbangga kerana telah menjalankan tanggungjawab saya. Tetapi sekiranya tidak diterima sekalipun saya bersyukur kerana telah berusaha ke arah melihat masa depan PAS yang pastinya akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini," katanya kepada pemberita di Georgetown dua hari lepas.

Beliau berkata menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan segala kekeliruan yang timbul hasil daripada penulisan bukunya itu termasuk keputusan Dewan Ulama PAS Kedah yang menolak pandangannya dalam buku itu sepertimana yang disiarkan beberapa akhbar tempatan baru-baru ini.

Dewan Ulama PAS Kedah dalam satu kenyataan pada Rabu lepas (29 Dis. 2010) berkata dewan itu menolak tulisan Dr. Mujahid dalam buku itu yang antara lain mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".

Dr. Mujahid berkata buku tulisannya itu merupakan usaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan parti sejak lebih 50 tahun lepas. "PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinannya dan buku “Menuju Pas Baru” hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi parti yang perlu difikir oleh generasi muda.”

"Kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku tersebut boleh dijelaskan dengan mengadakan wacana dan diskusi yang sihat bagi membudayakan sikap keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza," katanya. (Laporan asal dari Bernama)

PAS, yang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, perlu mengambil langkah “menasionalkan” parti iaitu menjadikannya “parti yang berpijak dalam kerangka negara bangsa dan bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”

Dalam buku terbaru berjudul Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme, Dr. Mujahid Yusof berkata, parti Islam ini perlu menonjolkan ciri-ciri nasional yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang komitmennya terhadap tonggak negara bangsa.

Sinopsis

Kemunculan Lekuk Ketiga boleh berlaku dengan sendirinya, namun kemunculannya tanpa diurus dengan baik akan menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada ahli dan orang ramai, apatah lagi masalah dalaman yang berpontensi menimbulkan konflik tiada berkesudahan.

Isi kandungan dalam buku ini banyak berligar tentang fenomena konflik yang berlaku dalam sebuah parti politik Islam yang dikenali dengan nama PAS.

Dewan Ulama PAS Kedah tolak nuku tulisan Mujahid

Alor Setar, Kedah: Dewan Ulama PAS Kedah menolak buku bertajuk "Menuju PAS Baru" tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".

Naib ketua dewan itu Yusuf Mahmud berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli PAS. "Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli PAS terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata," katanya dalam satu kenyataan.

Yusuf berkata beliau menolak idea yang diketengahkan oleh Mujahid iaitu mengubah konsep kepimpinan ulama yang telah menjadi amalan dalam PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

"PAS tidak lemah dengan ulama tetapi ia perlu diperkasakan, bukan diubah kepada sebarang konsep lain," katanya. Beliau berkata penerbitan buku itu adalah satu percubaan untuk mengelirukan orang ramai mengenai asas perjuangan PAS yang berteraskan Islam.

"Beliau dilihat cuba menanam rasa benci masyarakat kepada kepimpinan ulama dengan mengatakan bahawa PAS tidak membawa aspirasi nasional, apabila PAS menafikan Perlembagaan Persekutuan dan menamakannya sebagai Perlembagaan Thaghut," katanya.

Yusuf berkata masyarakat umum mungkin boleh terpengaruh tetapi ahli-ahli PAS yang telah ditarbiyah sekian lama cukup faham bahawa PAS selama ini hanya membawa aspirasi Islam bukan aspirasi nasional.

"Beliau dilihat memberi tekanan agar PAS berubah menjadi parti yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan agar matlamat ke Putrajaya tercapai. Perlu diingatkan di sini bahawa matlamat perjuangan PAS bukan untuk ke Putrajaya tetapi untuk menegakkan hukum Allah. Tidak ada gunanya ke Putrajaya jika PAS terhakis asas perjuangannya," katanya.

Katanya idea "menasionalkan PAS" adalah tidak wajar kerana yang sepatutnya diketengahkan ialah Islam dalam pembentukan kenegaraan.

"Tindakan Mujahid jelas menunjukkan bahawa beliau cuba meneutralkan PAS dalam meraih undi masyarakat Malaysia. Bukan kita terpaksa menceduk apa yang telah menjadi praktikal parti-parti lain di Malaysia tetapi kita perlu ada jati diri," katanya.

Yusuf berkata kecelaruan Mujahid semakin menjadi-jadi apabila beliau menyarankan supaya dimasukkan dalam latihan perkaderan mengenai perlembagaan, membentuk identiti nasional PAS seperti mengibar Jalur Gemilang, menyanyi lagu Negaraku dan berpakaian kebangsaan.

"Sepatutnya perkara-perkara seperti itu tidak perlu dibuat kerana kita mempunyai agenda yang lebih penting kepada generasi yang akan datang iaitu membezakan antara al-haq dan al-batil," katanya.

Judul: Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme
Penulis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa
Penerbit: The Malaysian Insider Sdn Bhd.
ISBN / Harga: 9789834452445 / RM20.00

2 comments:

Jiwarasa said...

Buku yang menarik. Cuba menulis sejarah PAS dan cuba memberi arah tuju baru buat parti itu. Ada beberapa fakta dalam buku ini yang saya rasa hanya pendapat penulis, bukan berdasrkan fakta. Buat mereka yang mengikuti dan mendokong PAS sejak sebelum Pak Yusuf Rawa mungkin mempunyai pendapat berbeda.

Apapun, ini satu karya yang baik yang memberi dimensi berbeza. Pendapat penulis yang mahukan kepimpinan ulamak diberi definasi dan makna baru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sesetengah ahli PAS. Moga cetusan beliau itu akan mencambahkan diskusi dan perbincangan secara bersungguh-sungguh.

Hamba Allah said...

Saya belum beli lagi buku ini. Semoga kepimpinan PAS berlapang dada dan adakan diskusi dan percambahan minda dengan segera.


Photobucket
top