Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

2 Muharram 1432H - Perancangan rakan-rakan Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC) berjaya. Dengan kerjasama erat dari pihak Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd., Alaf 21 Sdn. Bhd. dan MPH Alamanda, maka majlis Pelancaran Novel Rayyan Fantasi selamat dilaksanakan pada 4 Disember 2010 di MPH Alamanda, Putrajaya.

Saya dan isteri, Chef Hana, tidak melepaskan detik-detik indah itu. Sebagai pembaca tegar karya-karya Novelis Thriller No. 1 Malaysia, saudara Ramlee Awang Murshid, kami berdua ke Putrajaya bagi meraikannya seawal jam 10.30 pagi lagi.

Saudara Ramlee yang telah dinobatkan antara novelis prolifik Alaf 21 memang menghasilkan produk sastera yang berwibawa. Kategori novel sdr. Ramlee ialah thriller. Tetapi suka untuk saya mengubah sedikit kategori tersebut kepada thriller-fantasi-Islami. Saya ada buat resensi terhadap beberapa karya sdr. Ramlee di blog ini.

Suka saya memetik komentar Puan Ainon Mohamad, Pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang menyatakan bahawa “RAM telah berjaya membuka Laut Biru pasaran fantasi Melayu dengan sangat berkesan. Jasa dan sumbangan beliau sangat besar.”

Beliau seterusnya menulis:
“Ambil sebagai contoh kes kategori fiksyen fantasi. Kategori ini adalah Laut Biru yang mempunyai potensi baik. Sebagai buktinya adalah kejayaan luar biasa novel-novel Ramlee Awang Murshid (RAM) dalam pasaran.

“Kelab peminat beliau (RAMFC) mempunyai lebih 8 ribu fans (hitungan terakhir ialah 8,637 fans). Jumlah peminat setia beliau adalah jauh lebih besar kerana bukan semua peminat beliau mempunyai akses internet. Di kalangan mereka yang mempunyai internet pula, bukan semua menjadi ahli kelab RAMFC.

“RAM telah berjaya membuka Laut Biru pasaran fantasi Melayu dengan sangat berkesan. Jasa dan sumbangan beliau sangat besar. Bak kata pepatah, Ramlee Awang Murshid telah membukakan hutan, kini penulis-penulis lain dapatlah berkebun. Isunya sekarang adalah bagaimana mahu menjual novel-novel fantasi kepada peminat-peminat RAM.

“Novel-novel RAM yang paling laris mempunyai ciri-cirinya. Ini bermakna, ciri-ciri itulah yang diminati oleh peminat-peminat beliau. Bagi penulis fiksyen yang mahu menjual karyanya kepada peminat RAM, langkah pertama adalah membaca dan membedah novel-novel terlaris RAM.”
Tahniah kepada sdr. Attokz Dikulgai dengan mantera puisinya yang berbunga bahasa dan penataan diri mewakili ilustrasi ‘makhluk’ yang terpapar di muka depan Rayyan Fantasi. Tahniah juga ditujukan kepada sdr. Zonan Villa yang mempengerusikan majlis dengan baik. Sekalung penghargaan untuk semua AJK RAMFC yang mencurahkan idea demi menjayakan majlis selama hampir 5 jam itu.

Photobucket
Dari pemerhatian saya dan rakan-rakan lain, lebih kurang 500 peminat sdr. Ramlee berbaris menunggu giliran bagi buku-bukunya ditandatangani oleh novelis itu di kedua-dua sesi, iaitu dalam kedai buku MPH dan selepas pelancaran di bulatan tengah tingkat 3 kompleks Alamanda. Pastinya bukan sahaja novel Rayyan Fantasi yang ditandatangan, malah kedapatan juga pengunjung yang membawa novel-novel sdr. Ramlee yang lain.

Photobucket
Saya membeli dua naskhah novel Rayyan Fantasi, satu untuk saya sendiri, satu lagi untuk isteri. Mengapa saya beli dua naskhah padahal kami pasangan suami-isteri? Ini sebagai sokongan kami kepada sdr. Ramlee.

Photobucket
Saya sudah memulakan pembacaan Rayyan Fantasi, baru di bab 4. InsyaAllah, saya akan bikin resensi nanti. Satu sahaja komen saya untuk sekilas pandang, iaitu desain kulit depan novel ini kurang menyengat. Adakah pereka grafik Alaf 21 sudah kering idea? Novel yang baik akan sedikit cacat sekiranya desain kulit dan packaging keseluruhan buku diambil sambil lewa sahaja. Grup Buku Karangkraf dan Alaf 21 mesti membuka mata luas-luas berkenaan hal ini.

Dalam kesempatan itu juga saya membeli dua naskah novel terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd, berjudul Rona-Rona Cinta Damascus dan Cinta Granada. Novel Cinta Granada ialah sekuel kepada novel sebelumnya yang berjudul Rindu Andalusia. Faktor utama saya membelinya di MPH ialah harganya. Cuma RM23.00 untuk dua naskhah!

Hayati kumpulan foto yang saya rakam. Saya juga mengambil foto-foto dari Facebook RAMFC di majlis Pelancaran Novel Rayyan Fantasi tersebut. Semoga ceria di tahun 1432 Hijrah.

Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
“Jika ada peminat yang berasa terseksa menantikan kehadiran novel terbaru dari saya, sebenarnya saya lebih-lebih lagi terseksa untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar dapat memuaskan hati peminat-peminat. Kehadiran novel ini, sekiranya baik adalah kerana Allah S.W.T dan sekiranya tidak sempurna, adalah kerana diri saya sendiri.” Itulah di antara kalimah yang dilontarkan oleh penulis prolifik Alaf 21 ini.

Berkaitan: Laporan dari Alaf 21 Sdn. Bhd.

5 comments:

Anirsah Ilmar said...

Iya, nampak kurang menyerlah (desain kulit depan). Tetapi apa pun penceritaan terbaik. Saya kagum karya anda.

Zonan Villa said...

Assalamualaikum. Pendapat saya begini... Sama ada sudah menjadi 'trade mark' yang dibanggakan oleh Alaf 21 keadaan muka depan semua novel dari Alaf 21 kena sama sahaja atau memang mereka tiada idea. Mungkin akan ada kata balasan 'don't judge book by its cover'. Tapi... tanpa 'seri' daripada cover mungkinkah orang akan merapati novel itu? Itu pengalaman saya bila melihat novel syarikat sedang meningkat naik sekarang ~Papa Ibad~

Khidmat Katering Lusiana said...

Desain kulit dan packaging yang sterotaip kurang memujuk pembaca. Pembaca tegar dan peminat RAM akan sambar apa sahaja yang novelis ini hasilkan. Namun menjadi peranan penerbit bagi menyediakan packaging kontemporari dan bernilai tinggi, bukan sahaja sebagai cendera hati kepada pembaca tegar, malah lebih penting lagi meneroka pasaran baru.

Web Sutera said...

Tuan dan puan yang budiman. Terima kasih atas komen yang diberikan untuk entri ini.

Sdr. Zonan Villa, saya tahu bahawa sdr. membandingkan dengan penerbitan oleh syarikat PTS bila merujuk kepada "Itu pengalaman saya bila melihat novel syarikat sedang meningkat naik sekarang." Memang benar, desain dan packaging keseluruhan PTS maju dan kreatif.

Saya ulangi komen berkenaan: Satu sahaja komen saya untuk sekilas pandang, iaitu desain kulit depan novel ini kurang menyengat. Adakah pereka grafik Alaf 21 sudah kering idea? Novel yang baik akan sedikit cacat sekiranya desain kulit dan packaging keseluruhan buku diambil sambil lewa sahaja. Grup Buku Karangkraf dan Alaf 21 mesti membuka mata luas-luas berkenaan hal ini.

Untuk info tuan-tuan dan puan-puan pembaca tegar karya RAM, saya telah memaklumkan hal ini kepada Alaf21 menerusi laman Facebooknya.

Zonan Villa said...

Ada banyak cover sebelum ini yang lebih baik daripda Rayyan Fantasi. Cuba lihat cover novel keluaran Alaf 21, sama sahaja. Look like my demand very high but they can do more then this cause kita kena tarik lagi ramai pembaca untuk membaca novel Abg Ramlee. Bukan itu sahaja, saya berpendapat kita perlu jaga menyokong penulis novel thriller yang lain. ~Papa Ibad~


Photobucket
top