Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

21 Muharram 1432H - Zulqarnain, salah seorang lelaki misteri dalam al-Quran, telah saya perikan dalam entri sebelum ini; Alexander the Great, what Allah says in the Quran. Lanjutan daripada itu, saya sudah usai membaca buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama dan Bahagian Kedua oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf yang diterjemahkan oleh saudara Ibnu Ghazali pada tahun 2008.

Dari buku itu saya mendapat gambaran jelas siapakah Raja (Nabi) Zulqarnain yang disebutkan dalam al-Quran dan siapa pula Iskandar Yang Agung, pemerintah Macedonia. Apa yang dapat saya simpulkan berdasarkan buku itu ialah Zulqarnain lelaki misteri dalam al-Quran bukanlah Iskandar Macedonia berdasarkan hujah-hujah yang panjang lebar Muhammad Khair Ramadhan Yusuf.

Seterusnya dalam pembacaan buku Al-Quran dan Sains Moden terbitan Jahabersa, bab terakhir membahaskan serba ringkas perihal siapakah Zulqarnain. InsyaAllah, saya akan usahakan proses adaptasi dengan menulis semula ulasan Ali Abdul Hamid Abu Al-Khair tersebut dalam bahasa Melayu moden dan tinggi. Buku ini saya telaah setelah saya mula membaca buku Origin of the Species oleh “Si Beruk” Charles Darwin.

Setelah selesai membaca bab berkenaan Zulqarnain dalam buku Al-Quran dan Sains Moden, saya membuat rujukan silang buku Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain terbitan PTS. Ternyata kedua-dua pengkaji sejarah ini mengemukakan hujah yang hampir sama dengan memutuskan bahawa Alexander the Great bukanlah Raja (Nabi) Zulqarnain yang disebutkan Allah dalam surah al-Kahfi.

Saya masih meneruskan penilitian buku Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain tulisan saudara Afareez Abdul Razak Al-Hafiz ini. Dalam masa yang sama penulis saudara Hasrizal Abdul Jamil mengatakan dalam blognya, Saifulislam.com, “Menetapkan metodologi kita pada memahami kisah Dzulqarnain dengan iltizam kepada disiplin al-Quran, kita akan terselamat daripada dipenatkan oleh ‘lautan maklumat’ yang tidak menyampaikan kita kepada kehendak sebenar kisah ini diwahyukan oleh Allah sebagai teladan umat.”

Seterusnya beliau menulis akan perihal Muhammad Khair Ramadhan Yusuf seperti di bawah.
“Sheikh Muhammad Khayr Ramadan Yusuf, pengarah kepada kitab Dzulqarnain: Al-Qaaid al-Faatih wa al-Haakim al-Muslih menceritakan di dalam muqaddimah bukunya, sebelum beliau menulis tentang Dzulqarnain, beliau telah bertemu dengan seorang alim meminta pendapat beliau tentang hasratnya untuk mengkaji dan menulis tentang Dzulqarnain. Si alim berkenaan melarangnya, dan apabila diminta memberikan alasan, guru rujukannya itu berkata, “engkau tidak akan sampai kepada sebarang natijah!”

“Akan tetapi Sheikh Muhammad Khayr Ramadan Yusuf meneruskan juga niatnya dan setelah selesai ‘melengkapkan’ buku tersebut, beliau benar-benar bersetuju bahawa kajiannya gagal menyampaikan dia kepada sebarang natijah yang konklusif.”
Ini mungkin kesimpulan saudara Hasrizal Abdul Jamil:
“Harus diambil iktibar, usaha untuk mencari maklumat-maklumat yang tidak diperincikan oleh al-Quran berkenaan kisah Dzulqarnain, hendaklah diberi pertimbangan hanya sebagai kajian sejarah yang menerima hipotesis, dan bukannya sebagai tafsir kepada ayat-ayat Allah di dalam al-Quran berkenaan dengannya. Malah, sifat keterlaluan dalam menyiasat tentang perincian kisah Dzulqarnain selain daripada apa yang dibekalkan oleh wahyu serta hadith-hadith yang sahih daripada Rasul-Nya, tidak akan sampai kepada sebarang kesimpulan yang muktamad, malah menjauhkan kita daripada tujuan asal kisah berkenaan dibentangkan di dalam al-Quran.”
Sila baca penuh komentar saudara Hasrizal Abdul Jamil di sini. Persoalan saya yang cetek ilmu ini adakah benar pandangan ustaz ini. Tanpa prejudis ingin saya tanyakan satu soalan, iaitu adakah buku-buku yang mengupas Zulqarnain dalam surah al-Kahfi bukannya cubaan ilmuan Islam dan Barat dalam menafsirkan kata-kata Allah itu? (Ilustrasi lelaki berkuda di atas dari blog SaifulIslam.com)

Saya juga memiliki buku Alexander adalah Zulqarnain oleh saudara Muhammad Alexander terbitan PTS, berhalaman 760 muka surat. Masih belum ditelaah. Adakah pengupasan ini juga sia-sia?

"Dan mereka bertanya kepadamu, mengenai Zulqarnain. Katakanlah, 'Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya.' Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi mencapai tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya." (Surah al-Kahfi ayat 83-84)

Saya sangat mengharapkan tuan-tuan dan puan-puan yang budiman memberikan pandangan dan saranan untuk perkara besar ini.

P/s: Posting dari Cherating, Kuantan, Pahang.

35 comments:

mudin001 said...

Kupasan tidak salah. Kajian juga tidak salah. Yang salah adalah apabila andaian diterima sebagai fakta. Dan fakta itu dipaksakan pula ke atas orang lain untuk diterima sebagai benar.

Web Sutera said...

Terima kasih sdr. Najmuddin. Saya bersetuju dengan pandangan saudara mengenai fakta yang dipaksakan. Alhamdulillah.

Ok, untuk sahabat-sahabat yang tidak berada dalam kumpulan Goodreads Malaysia, saya terbitkan kembali saranan-saranan berkaitan.

Pertamanya dari sdr. Khairul H: "Saya setuju ia tidak penting sebab apa yang penting ialah apa yang beliau buat dan bagaimana. Bukan siapa beliau."

Fariza said...

Kerisauan bagi Ilmuan Islam dan ahli al-Quran adalah berlakunya tokok tambah di dalam penceritaan terhadap kisah-kisah di dalam al-Quran yang bersifat andaian sahaja.

Sebenarnya agama Nasrani dan Yahudi juga berlaku tokok tambah yang mengakibatkan mereka terpesong akhirnya.

Tidak salah untuk membuat kajian, cuma janganlah dibuat kesimpulan hanya melalui hipotesis dan andaian sahaja.

Nazmi said...

Berbalik kepada garis panduan yang dibuat oleh ulama hadis tentang cerita israiliyat:

1. Wajib diterima kalau memang disebut dalam Quran dan sunnah.
2. Wajib tolak kalau bersalahan dengan dua-dua sumber hukum itu.
3. Nak terima boleh, tak nak pakai sudah kalau tak disebut dalam dua sumber hukum itu, tetapi tak juga bertentangan.

Puan Ainon Mohd. said...

Tuan WS,

Pengkaji, penulis dan pembaca buku-buku dalam kategori sejarah adalah bukan orang biasa-biasa. Sebagaimana dengan diri tuan sendiri, mereka mempunyai librari peribadi, mereka mempunyai wang bagi membeli buku-buku mahal, mereka mempunyai minat mendalam, mereka adalah individu-individu yang banyak membaca buku-buku lain, mereka juga memiliki daya-fikir kritis.

Web Sutera said...

Baik, para sahabat. Saya akan telaah dahulu Alexander adalah Zulqarnain . InsyaAllah saya akan kupas atas pemahaman saya sendiri.

Adakah andaian merupakan hipotesis? Jika hipotesis maka ianya perlu dibuktikan dengan rumus atau fakta. Adakah sdr. Mohamad Alexander tidak melakukan demikian? Saya hairan sebenarnya.

Sdr. Nazmi, saya faham dan sedar akan wujudnya unsur israiliyat. Dalam buku Iskandar Zulkarnain: Bahagian Pertama dan Bahagian Kedua oleh Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, beliau mengupas secara panjang lebar akan isu ini.

Memang benar hujahan saudara berkenaan panduan "ulama hadis tentang cerita israiliyat."

Puan Ainon, ada pembaca dan pengkritik buku Alexander adalah Zulqarnain mengatakan bahawa andaian atau hipotesis yang dilontarkan oleh penulis Mohamad Alexander adalah andaian yang dipaksakan kepada pembaca menerimanya sebagai fakta. Adakah tiada bukti?

Sebagai contoh ialah komen Sdr. Najmuddin, "Sdr Web, saya tidak menyebut bahawa Mohamad Alexander membuat andaian tanpa asas. Berasas atau tiada asas, andaian tetap andaian."

Khairul H said...

Saya sebenarnya tidak kisah dan tidak marah jika Alexander Macedon dikaitkan dgn Dzulkarnain tetapi saya marah apabila andaian semata-mata digunakan sebagai bukti. Itu menghina intelek saya.

Imran Azmi said...

Hikmah pencarian Zulqarnain adalah bagi memahami kuasa Allah kepada hamba-Nya. Surah al-Kahfi tidak harus dipandang pada sudut Zulqarnain sahaja tetapi perlu dilihat secara menyeluruh. Sebelum kisah Zulqarnain di dalam surah al-Kahfi, Allah menceritakan tentang kisah Nabi Khidir yang mendapat anugerah Allah dengan jalan ilmu para wali iaitu melalui kisah-kisah yang mencarikkan adat (contohnya adat api membakar dsb.). Kisah Zulqarnain pula Allah menceritakan bagaimana hamba-Nya yang soleh yang turut menerima anugerah dalam bentuk kuasa material seperti Zulqarnain. Jadi, dalam dunia ini, ada orang yang menempuh jalan wali dan ada orang yang menempuh jalan alim. Wali adalah alim dan tidak semestinya alim itu wali.

Jadi, berbalik kepada ketagihan siapa Zulqarnain adalah kajian ini perlu merujuk pada matlamat pengkaji/ penulis sendiri. Adakah ia mencari kemasyhuran dengan teori kosong ataupun mendedahkan bukti kuasa Allah kepada orang ramai. Berapa orang yang boleh menceritakan kisah Zulqarnain tetapi tidak mampu menceritakan bukti sejarah secara tepat. Saya tidak nampak kesalahan mencari siapa Zulqarnain selagi tidak ada larangan daripada al-Quran dan hadis dan perkara itu tidak bercanggah dengan wahyu tersebut.

Zaman dahulu mungkin munasabah jika menceritakan kerana ramai orang boleh 'dengar dan taat.' Sekarang, berapa ramai orang 'dengar dan bertanya mana bukti?" Jika begitu, tidak adalah pakar-pakar perubatan Islam, pakar astronomi, matematik dan sebagainya kerana semua itu tidak tercatat di dalam al-Quran sedangkan al-Quran menceritakan sedikit sahaja mengenainya. Selepas kejatuhan Abbasiyah dan Uthmaniah, umat Islam terus mundur dan hanya memikirkan perkara yang ada pada kitab. Mana lagi pakar Islam yang mampu membedah khazanah al-Quran seperti mana ulama silam?

Moh. Alexander said...

Assalamualaikum wr.wb.
Semoga Tuan dan Puan semua senantiasa mendapat Rahmat Allah SWT, karena telah meluangkan masa untuk mengkaji ayat-ayat Quran mengenai Zulqarnain.
Saya Muhammad Alexander (Wisnu Sasongko) penulis buku - Alexander adalah Zulqarnain - Saya secara tidak sengaja telah bertamu ziarah ke blog Tuan Web Sutera, dan membaca semua diskus ini.
Terimakasih juga kepada semua yang telah membaca buku saya itu, yang menimbulkan pro dan kontra. Semoga perbedaan pandangan ini mampu menumbuhkan pengetahuan baru dan bermanfaat bagi agama kita dan umat seluruh alam, yaitu perbedaan yang menimbulkan rahmat, dan bukannya menumbuhkan perpecahan yang justru mencemarkan Al-Islam.
Saya ingin berkongsi pengetahuan kepada semua demi keagungan Al-Quran.
Dari perbincangan di atas, ada beberapa hal yang ingin saya tanyakan:
1) andaian yang dipaksakan: tolong budi baik Tuan Najmuddin dan Tuan Khairul boleh tunjukkan dimana persoalan itu dalam buku saya itu, contohnya pada halaman berapa? agar saya boleh menjawab.
2) penting tidaknya siapa Zulqarnain: saya pribadi berpendapat bahwa semua ayat dalam Al-Quran adalah penting. Begitu juga dengan Zulqarnain (siapa beliau, bagaimana tugasnya dan teladan) semua itu penting. Pengkajian yang terperinci bagaimana-apa-dan siapa, akan memajukan peradaban islam. peradaban Barat menjadi maju karena semua hal dikaji secara detail/terperinci sehingga lahir fakultas/disiplin ilmu baru. Dengan ditemukannya siapa sosok Zulqarnain maka hal ini akan menjawab semua persoalan dan tuduhan orientalis berkaitan dengan kisah zulqarnain.

Moh. Alexander said...

Dan dengan ditemukannya sosok zulqarnain quranik ini dalam sejarah, maka akan membuktikan kebenaran Nubuat Kitab Suci Al-Quran, bahwa dari waktu ke waktu kita dan manusia seluruhnya akan mengetahui kebenaran kisah-kisah dalam Quran, sebagaimana disebutkan dalam surat Saad ayat 87-88:

Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi. (Al-Quran surat Saad 87-88)

Ada baiknya kita mulai perkongsian ini pada perkara no 1 dulu, kita fokus pada - andaian yang dipaksakan -

Wassalam

* Sebelumnya, saya mohon maaf atas bahasa saya yang sedikit berbeda dengan bahasa Tuan dan Puan

Web Sutera said...

Assalamualaikum, sdr. Imran Azmi. Saya bersetuju dengan pandangan saudara. Sebab itulah saya menyoal kembali di sini, "Adakah buku-buku dan kupasan Raja (Nabi) Zulqarnain sia-sia?"

Saya merupakan jutaan umat Islam dan Melayu yang amat menyintai ilmu dan juga sejarah, lebih-lebih lagi sejarah berkaitan manusia besar dan dunia Islam. Saya juga amat menitik-beratkan setiap kupasan dan tafsiran apa sahaja dari Quran, termasuk Zulqarnain, kerana saya percaya ilmuan yang ikhlas menafsirkan kata-kata Allah diberi panduan untuk berbuat demikian.

Ilmuan Islam zaman dahulu mungkin menafsirkan ayat-ayat Quran berdasarkan fakta-fakta yang berasaskan persekitaran masa tersebut. Kaedah atau sumber kupasan juga berkait rapat dengan teknologi di zaman itu. Justeru pencapaian teknologi dan penerokaan pengetahuan manusia semakin maju, maka tafsiran juga mengalami perubahan, kecil atau besar. Cuma tafsiran yang dilakukan walau di zaman mana pun tetap tidak lari dari asas utama, iaitu ilmu Allah yang Maha Luas.

Memetik kata-kata Puan Ainon, "mereka mempunyai wang bagi membeli buku-buku mahal, mereka mempunyai minat mendalam, mereka adalah individu-individu yang banyak membaca buku-buku lain, mereka juga memiliki daya-fikir kritis." - Saya tidak dapat untuk menyanggahnya. Saya bersetuju.

Khairul H said...

M.A. (Mohamad Alexander) menggunakan perkataan "mungkin" bila ingin mengIslamkan guru Alexander Macedon iaitu Aristotle. Tiada bukti yang Aristotle atau guru-gurunya, Plato dan Socrates, memegang kepada tauhid tuhan satu tetapi oleh kerana M.A. sudah bertekad bahwa Alexander Macedon adalah seorang Muslim yakni Dzulkarnain dalam Quran, maka tidak sesuailah jika beliau berguru dengan orang musyrik. Jadi gurunya (Aristotle) diIslamkan. Bukti? Tiada.

M.A. hanya membuat spekulasi jika Aristotle Islam maka guru Aristotle (Plato dan Socrates) pun mestilah Islam. Mustahil si Muslim berguru dgn si Musyrik. Bukti? Tiada. Hanya M.A. menulis mungkin Socrates itu adalah Luqman al-Hakim yang disebut dalam Quran kerana Luqman dalam Bahasa Arab bererti 'menelan' dan Socrates mati apabila dihukum bunuh dengan menelan racun.

Oleh itu, Socrates (mati telan racun) = Luqman Al-Hakim (sebab Luqman maksudnya 'telan') = Socrates adalah Luqman!! Maka, muridnya Plato pun mestilah Muslim! Dan murid Plato, si Aristotle itu mestilah Muslim!! Dan murid Aristotle, si Alexander, tak syak lagi seorang Muslim!!

Semuanya berdasarkan "kemungkinan" (M.A. sendiri tidak pasti sebab itu dia tulis, 'mungkin') bahwa Socrates itu adalah Luqman.

Saya tulis berjela di review buku AAZ di Goodreads. Sila cari. Di blog pun ada tapi versi English.

(Saya tidak tolak Socrates itu muslim tapi bagilah bukti yang kukuh. Janganlah setakat spekulasi. Dahlah spekulasi, spekulasi berdasarkan cara beliau mati yang dikaitkan dengan nama Luqman. Macam inikah buat thesis PhD?)

*** Dari Goodreads Malaysia.

Moh. Alexander said...

Tambahan sedikit lagi:
Cobalah lihat blog-blog ini yang semuanya menghina Al-Quran mengenai kisah Zulqarnain:

a) Is the Qur'an Miraculous? -- Zul-Qarnain
http://www.islamacevap.net/Authors/Newton/alex.html

b) Is the Qur'an Miraculous? -- Zul-Qarnain and the Sun
http://www.answering-islam.net/Authors/Newton/spring.html

c) Zul-Qarnain and the Setting Sun in Sura 18:83-86
http://www.muslimhope.com/ZulQarnain.htm

d) ISLAM IS TERRORIS: ALEXANDER AGUNG, SI KAFIR NABI ISLAM
http://fuck-muhammad.blogspot.com/2009/02/alexander-agung-si-kafir-nabi-islam.html


Mengapa belum ada sarjana islam yang berjaya menjawab semua tuduhan itu? jawabannya karena belum ada di antara kita yang mau bertungkus lumus mencari sosok Zulqarnain itu dalam sejarah, sehingga jawaban kita tidak tentu arah dan akhirnya tidak berjaya dalam menjawab tuduhan-tuduhan orientalis itu. Karena tidak mampu menjawab tuduhan para orientalis, maka akhirnya sebagian kita lari dari persoalan ini sambil berkata: isu siapa zulqarnain itu tidak penting, yang penting adalah bagaimana prilaku beliau dan apa yang diperbuatnya. Inilah menunjukkan kelemahan kita.
Oleh itu mengetahui dengan jelas siapa Zulqarnain Sejarah adalah penting, bahwa kisah dalam Quran bukan mitos. Buku saya, Alexander adalah Zulqarnain telah sedikit membantu menjawab tuduhan2 tidak berazas itu.

Mari kita fokus pada persoalan no 1: tolong tunjukkan dalam buku saya itu (halaman berapa) mengenai: andaian yang dipaksakan, fakta yang dipaksakan, atau andaian semata-mata digunakan sebagai bukti.

Demi Allah, saya berharap dalam diskusi ini ada moderator yang adil, jujur, terbuka, berwawasan luas dan tegas. Semoga Allah mengabulkan permohonan saya ini.

yah sudah malam..
saya mau tidur dulu ya...salamualaikum semua

Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko
Penulis Buku:
Alexander adalah Zulqarnain: Pembebas Barat & Timur, Pembina Tembok Besi Yakjuj & Makjuj

Web Sutera said...

Saya petik kata M.A: "Demi Allah, saya berharap dalam diskusi ini ada moderator yang adil, jujur, terbuka, berwawasan luas dan tegas. Semoga Allah mengabulkan permohonan saya ini."

Sdr. M.A, oleh kerana saya yang mengemukakan persoalan ini demi mencari kebenaran, maka saya menjadi moderatornya. Saya akan pantau dan memasukkan sebarang komentar. Namun saya akan berikan keadilan kepada semua. Pastinya saya tidak membenarkan sebarang komen melampau yang terlalu menghina, insyaAllah.

mudin001 said...

Oh, maaf. Saya baru tersedar berlaku perdebatan panjang di sini.

Sdr M.A, saya tidak setuju dengan petikan ini:

"Dan dengan ditemukannya sosok zulqarnain quranik ini dalam sejarah, maka akan membuktikan kebenaran Nubuat Kitab Suci Al-Quran."

Pada saya, kebenaran AlQuran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian, malan AlQuranlah yang akan membuktikan benar atau tidaknya sesuatu.

Berbalik kepada soal, saya rasa saudara boleh baca dulu komentar saya tentang buku AAZ di sini:

http://mudin001.com/2010/09/28/kecek2-tentang-alexander-adalah-zulqarnain/

Salam.

Web Sutera said...

Sdr. Najmuddin, terima kasih atas ketegasan saudara. Saya hormatinya. Saya sudah baca komen saudara di blog Kecek2 Tok Mudim 4.0. Ada isi dan isu yang mesti diperjelaskan oleh sdr. M.A. Sama-sama kita tunggu.

Ambo nok salin semula komen dari sdr. Naka a.k.a. Bunnybaby untuk perhatian khusus PTS:

"PTS memang mengejar kuantiti judul yang dapat diterbitkan dalam setahun, mungkin ini antara buku yang “terlepas pandang” (dan memang ada buku lain yang editor mereka terlepas pandang). Lagipun, penulisan seseorang yang memang dalam bidang akademik seperti Wisnu Sasongko, siapa yang berani nak edit lebih-lebih?"

Hj Hasrizal Abdul Jamil said...

Assalamualaikum WBT.

Maafkan saya kerana agak terlewat menyertai perbincangan ini. Memandangkan tulisan (nota ceramah) saya di blog turut dipetik, maka ingin saya membuat sedikit penambahan di sini, dengan izin tuan rumah.

Buku-buku yang mengkaji tentang Dzulqarnain, Alexander the Great dan Cyrus sangat banyak dan menarik untuk dimanfaatkan. "Menarik" bagi saya bukanlah sekadar menarik kerana suka membaca tetapi dengan sedikit latihan yang saya terima dalam pengajian Sarjana Sejarah sebagai cabang Sains Sosial, ia adalah satu lembaran yang benar-benar menarik untuk dikaji.

Namun perbezaan metodologi antara sejarah sebagai cabang Sains Sosial dan sejarah sebagai cabang Tafseer di dalam Ulum al-Qur'an, menjadi titik saya membuat nota di blog.

Saya TIDAK SAMA SEKALI mengatakan bahawa semua kajian tentang Dzulqarnain itu SIA-SIA. Saya tidak menggunakan perkataan SIA-SIA kerana ia memberikan konotasi segalanya langsung tidak punya harga.

Namun apa yang cuba saya tegaskan ialah, kajian memperincikan tentang Dzulqarnain seperti di dalam buku Alexander Adalah Zulqarnain oleh Tuan Muhammad Alexander yang saya hormati lagi kagumi usahanya, hendaklah diposisikan dengan BETUL agar ia TIDAK SIA-SIA. Iaitu menerimanya sebagai KAJIAN SEJARAH berinsipirasikan AL-QURAN, DAN BUKANNYA TAFSIR kepada ayat-ayat tentang Dzulqarnain di dalam Surah al-Kahf.

Sebabnya jelas. Al-Quran hanya boleh ditafsirkan oleh al-Quran, juga hadith-hadith yang sahih sahaja.

Saya secara konsisten mempertahankan kaedah ini iaitu dengan tidak menghuraikan kisah Ashaab al-Kahf, Lelaki pemilik dua kebun, Musa dan Khidr serta Dzulqarnain, dengan menggunakan 'fakta-fakta' Sejarah yang saya perolehi daripada kajian Sejarah. Namun tidak sama sekali menganggap kajian sejarah itu sia-sia. Cuma ia tidak boleh dinaiktaraf menjadi TAFSIR kepada WAHYU ALLAH (maaf atas pengulangan point ini).

Hj Hasrizal Abdul Jamil said...

... sambungan:

Bagi kisah Dzulqarnain, kalimah منه di dalam ayat 83 bermaksud Allah hanya menceritakan sebahagian daripada kisah Dzulqarnain dan 'mendiamkan' sebahagian yang lain. Kemudian di dalam ayat 91 pula, Allah SWT menegaskan sekali lagi bahawa maklumat-maklumat tentang Dzulqarnain itu adalah sebahagian daripada AL-KHUBR. Kalimah AL-KHUBR pernah disebut di dalam ayat 68 Surah al-Kahf, tentang maksud tiga kejadian membabitkan Khidr dan Musa. Kalimah AL-KHUBR berbeza dengan AL-KHABAR (seperti di dalam al-Naml : 7 dan al-Qasas : 29) kerana AL-KHABAR ialah maklumat yang dicapai oleh pancaindera manusia hasil pemerhatian dan kajiannya. Manakala AL-KHUBR pula, merujuk kepada maklumat tersembunyi yang hanya diketahui melalui WAHYU. Dan Kisah Dzulqarnain diklasifikasikan sebagai AL-KHUBR ini.

Meraikan hal itu, saya cuba meletakkan satu garis agar kisah Dzulqarnain (dan kisah-kisah lain di dalam al-Quran) dibahaskan dalam kelas Tafseer (bukan Sains Sosial), dengan mengoptimumkan semua yang Allah beritahu melalui kehalusan ayat al-Quran menceritakannya, tanpa perlu mengambil bahagian pada apa yang tidak disebut sendiri oleh wahyu.

Sayyid Qutb menegaskan bahawa kesemua cerita di dalam Surah al-Kahf (termasuk kisah Dzulqarnain) dibentangkan oleh Allah sebagai benteng Muslim mendepani fitnah Dajjal kerana Surah al-Kahf melaksanakan tiga peranannya iaitu:

1. Tashih al-Aqidah (membetulkan kepercayaan)

2. Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nadzar (membetulkan metodologi berfikir dan membuat pemerhatian)

3. Tashih al-Qiyam bi Mizaan al-Aqeedah (membetulkan sistem nilai berteraskan timbangan Aqidah)

Untuk mencapai ketiga-tiga maksud itu, ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih sudah cukup kuat untuk menyampaikan kita kepadanya, manakala kajian-kajian sejarah diraikan sebagai maklumat tambahan, dan bukannya menghuraikan apa yang didiamkan oleh Allah. Kajian Sejarah yang banyak berasaskan hipotesis tidak layak untuk menafsir wahyu Allah.

Maaf atas catatan panjang lebar. Moga diskusi ini menyemarakkan budaya ilmu dan mengkaji kita kaum Muslimin.

p/s: bab memaksakan hipotesis ke atas orang ramai, saya tidak terbabit kerana saya tidak merasakan Tuan Muhammad Alexander atau Sheikh Muhammad Khair Ramadan Yusuf ada memaksa sesiapa menerima kajian mereka. Hanya sikap pembaca yang 'menggelepar kepanasan' dengan 'benda baru' yang menjadikan mereka sesama mereka saling paksa memaksa. Wallahu A'lam

Moh. Alexander said...

Saya tidak setuju dengan kelimat Tuan Najmuddin: “ Pada saya, kebenaran AlQuran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian,..”

Jawaban saya: Kalau kajian-kajian tidak diperlukan sebagaimana pendapat Tuan Najmuddin, maka berarti tak perlukah fakulti-fakuliti keislaman, kajian tafsir Quran, kajian sains Islam, tak perlu lagi kampus Al-Azhar? Kalau memang begitu maka tamadun Islam akan stagnan. Inilah yang menyebabkan umat Islam tertinggal jauh.
Bahkan banyak ayat dalam Al-Qur’an yang menyuruh kita supaya berpikir (sebagai proses mengkaji). Dengan mengkaji Quran maka kita semakin yakin dengan kebenarannya.

Mengenai ulasan Tuan Najmuddin, saya akan coba kaji dulu

Moh. Alexander said...

Saya sudah baca ulasan Tuan Najmuddin dan Khairul. Saya ucapkan banyak terimakasih atas ulasan Tuan. Saya teruja dengan semangat Tuan-tuan dalam membaca buku saya itu, sebagaimana semangat Tuan dalam mempromosikan buku itu.

Beberapa Ulasan Tuan Najmuddin terhadap buku saya:
“aku setuju dengan Khairul bahawa penulis kelihatan tidak objektif. Beliau bermula dengan premis bahawa Alexander ADALAH Zulqarnain. Dari situ, there is no turning back for him. Beliau mesti buktikan bahawa Alex adalah Zul, dan Zul adalah Alex, by hook or by crook or by book. A very thick book, then.” (sumber: http://mudin001.com/2010/09/28/kecek2-tentang-alexander-adalah-zulqarnain/)

Jawaban saya:
Saya kira Tuan telah tersalah dengan hal itu. “Alexander adalah Zulqarnain” adalah sebuah tajuk yang lahir dari kajian objektif dari 8 kitab Tafsir Quran terkenal:
1. Tafsir Thobari,
2. Tafsir Qurtubi,
3. Tafsir Ibnu Katsier,
4. Tafsir Jalalain, Maraghi,
5. tafsir Al-Azhar Hamka,
6. Tafsir Fii Zilalil Quran - Sayid Qutb,
7. Tafsir Al Misbach Quraish Shihab
Kriteria kata kunci dalam tafsir itu kemudian saya pakai sebagai content (matan) dengan Analisi Content (analisi isi/kandungan/matan) untuk membedah sosok Alexander the Great dalam kitab klasik Greek yang ditulis oleh:
1.Diodorus Siculus (30 SM)
2.Quintus Curtius Rufus (53 M)
3.Plutarch (120 M)
4.Flavius Arrianus (180 M)
5.Flavius Josephus (100 M)

Dan tak cukup dengan itu, saya juga memakai metode analisis content untuk mengkaji rute Zulqarnain Quranic pada peta-peta rute pengembaraan Alexander the Great yang dibuat oleh sarjana barat modern (1696-2009), coba lihat carta ini dalam buku saya halaman Pendahuluan. Dari kajian yang mendalam itu banyak temuan-temuan baru yang belum ditemukan oleh peneliti lainnya, sehingga saya berkesimpulan bahwa Alexander the Great putra raja Philip dari Macedonia adalah Zulqarnain. Dari situlah maka tajuknya adalah AlEXANDER ADALAH ZULQARNAIN.
Jadi mana yang Tuan anggap tidak objektif? Mungkin anda Tuan Najmuddin dan Khoirul terlalu bersemangat dalam membaca sehingga terlewatkan kajian-kajian itu.

Imran Azmi said...

Tuan Mode,

Saya fikir perbincangan agak sedikit tersasar. Pada mulanya berbincang mengenai "Ketagihan: Adakah buku-buku dan kupasan Raja (Nabi) Zulqarnain sia-sia?" bertukar kepada menghujah penulisan buku Alexander adalah Zulqarnain" oleh M.A.

Ustaz Hasrizal, hujah ustaz cukup kuat dan menjawab topik. Saya 'like' pandangan ustaz:

"Saya tidak merasakan Tuan Muhammad Alexander atau Sheikh Muhammad Khair Ramadan Yusuf ada memaksa sesiapa menerima kajian mereka. Hanya sikap pembaca yang 'menggelepar kepanasan' dengan 'benda baru' yang menjadikan mereka sesama mereka saling paksa memaksa. Wallahu A'lam."

Buku AAZ bukanlah kitab Tafsir malah jauh untuk mencapai ke tahap itu. Ia adalah KAJIAN sebagaimana kenyataan penulis pada Bab Penutup halaman 703:

"Kesimpulan umum daripada KAJIAN ini menunjukkan Alexander the Great anak raja "

Apabila disebut KAJIAN, perlu dihujah dengan KAJIAN juga. Apa yang baca dalam blog Najmuddin dan perbincangan dalam Goodreads Malaysia, ia adalah kritikan terhadap gaya penulisan penulis dan mutu suntingan PTS, bukan poin yang disampaikan oleh penulis. Jika tidak bersetuju dengan Alexander adalah Zulqarnain, silakan menulis buku yang Bukan Alexander adalah Zulkaqrnain. Saya amat ternantikan penulisannya.

p/s: Saya juga mohon perbincangan yang matang dan objektif, bukan emosi dan marah-marah.

Sekian, terima kasih.

Imran Azmi said...

Saya tidak setuju pandangan ini:

"Pada saya, kebenaran Al-Quran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian, malan AlQuranlah yang akan membuktikan benar atau tidaknya sesuatu."

Dalam Islam, banyak perkara perlu dibuktikan baik dari segi nas mahupun logik. Rasulullah juga berdakwah dengan membawa BUKTI kerasulannya dan al-Quran diBUKTIkan dengan mukjizatnya.

Ilmuwan Islam menjadikan al-Quran sebagai rujukan UTAMA dan TERAS yang tidak boleh dinafikan. Sebarang kajian yang bercanggah degan al-Quran ditolak. Daripada kajian al-Quran lahir ilmu-ilmu baru yang bersumberkan al-Quran lalu mencipta peradaban yang tidak pernah terfikir oleh ilmuwan bukan Islam. Daripada situlah, keyakinan pada kebenaran al-Quran semakin kuat dan keimanan padanya juga semakin meningkat.

Jadi, bagaimana mungkin seseorang boleh berkata kebenaran AlQuran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian? Jika begitu, seorang itu hanya memeluk Islam dengan membuta tuli tanpa mengetahui kebenaran al-Quran itu sendiri? Jika begini bagaimana kita mahu membuktikan Islam itu benar jika sekadar menerima tanpa memikirkan kebenarannya?

Web Sutera said...

Hujah Tuan Hj. Hasrizal Abdul Jamil saya hormati dan sanjungi. Ianya sebuah pencerahan yang cukup bagi saya memahami ketegasan tuan. Alhamdulillah, sudah terang perbezaan antara tafsir dan kajian sejarah. Walau apapun, saya raikan semua jenis buku yang bermanfaat untuk manusia dan daya intelek rakyat umum termasuk saya.

Tuan Imran, saya kira perbincangan ini tidak tersasar. Memang matlamat saya bagi membuka diskusi mengenai sosok Zulqarnain dan buku-buku berkaitan, terutamanya dua buah buku terbitan PTS yang saya sebutkan.

Tajuk yang saya berikan bermula dengan kata 'ketagihan' itu membawa dua maksud:

1) Memang saya ketagih membaca dan mencari maklumat yang boleh / mungkin boleh merungkai setiap persoalan sejarah, apatah lagi huraian atau tafsiran kata-kata Allah dalam Quran. Saya tidak hadkan kepada penulis-penulis dalam bahasa Melayu sahaja, malah rujukan buku-buku dalam bahasa Inggeris juga.

2) Ketagihan kedua ialah berkenaan Zulqarnain. Tuan Imran juga pasti tahu bahawa kajian sejarah berkenaan Zulqarnain dan Alexander the Great tergolong dalam dua kem.

Dan saya bersetuju dengan pandangan Tuan Hj. Hasrizal Abdul Jamil mengenai bidang ilmu mesti diraikan. Saya pun begitu. Perbezaan pendapat dan kajian dalam disiplin ilmu tertentu patut dihormati. Untuk kes khusus, kita ada 4 mazhab utama dalam Islam. Dan mazhab lain seperti Syiah juga patut diraikan, selagi ianya masih berasaskan kepada firman Allah dalam Quran dan masih bertunjangkan kepada hadis Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW).

Tuan Najmuddin menulis, "Pada saya, kebenaran al-Quran tidak perlu dibuktikan dengan apa-apa kajian, malah al-Quranlah yang akan membuktikan benar atau tidaknya sesuatu."

Pandangan Tuan Najmuddin saya tidak bersetuju. Hujah Tuan Imran dan Tuan Muhammad Alexander saya gunakan. Itulah pemahaman saya sejak sekian lama, dan saya yakin dengan itu

yusoff said...

Assalamualaikum.. Izinkan sedikit perkongsian, moga bermanfaat. Isu yang dibincangkan menarik dan menyorot kita kembali kepada bagaimana sepatutnya manhaj (methodology) seorang Muslim dalam merenung/tadabbur KISAH yang disebut Allah dalam al-Quran.

Pertama, kita sedia tahu bahawa tujuan utama cerita dalam al-Quran adalah sebagai ibrah dan pengajaran buat pedoman umat ini dalam meniti kehidupan.

yusoff said...

Kedua,ramai identiti susuk tubuh pelaku kisah dalam al-Quran tidak diketahui secara mendalam.
Allah tidak megatakan siapa Firaun pada masa Nabi Musa? Siapa Ashabul Kahfi? Siapa kaum mereka? Apa nama mereka? Berapa bilangan mereka? Siapa Zulqarnain? Siapa Luqman?
Siapa pemilik dua kebun?
Allah telah meriwayatkan kisah mereka tanpa memperincikan tokoh pelakunya. Kerana maksud daripada kisah ini bukanlah kajian tokoh, tetapi kajian mencari hikmah di sebalik peristiwa. Mencari pengajaran buat hidup kita pada hari ini!

yusoff said...

Ramai identiti sosok tubuh pelaku kisah dalam al-Quran, tidak diketahui secara mendalam. Kecuali satu kisah sahaja iaitu kisah Isa bin Maryam dan ibunya Maryam bt Imran. Mengapa? Kerana apa yang berlaku kepada Maryam merupakan mukjizat yang tidak berulang. Justeru, Allah menspesifikasikan perihal Maryam dengan jelas dan terang, agar kita tak kan bercelaru dan tidak seorang perempuan pun yang mengaku hamil tanpa lelaki seperti Maryam!

Dan Isa a.s merupakan seorang tokoh yang bukan sahaja historical (bersejarah) tetapi juga controversial . Setiap kelompok ada pandangan mereka tentang diri Isa. Sejarahnya bermacam-macam ditangan pendita, ada juga yang sehingga menafikan kewujudannya. Justeru, Maha Bijaksana Allah membersihkan dan meluruskan biodata dan peribadi baginda selayaknya!

yusoff said...

Dan ketiga, kisah di dalam al-Quran berkaitan dengan kehidupan manusia. Kisah, peristiwa dan kejadian yang disebut akan berulang dengan perjalanan waktu.

Firaun adalah kisah setiap raja/penguasa yang mahu disembah di bumi ini.
Yusuf adalah kisah persaudaraan yang dirosakkan oleh syaitan dan hasad dengki.
Syuaib a.s dan Madyan adalah kisah seluruh kaum yang menipu dalam timbangan dan jual-beli.
Soleh a.s dan Tsamud adalah kisah seluruh kaum yang meminta bukti dari Tuhan, namun tetap kufur sesudah mukjizat itu datang.
Ashabul Kahfi adalah kisah setiap golongan yang melarikan diri dari penindasan orang kafir demi memelihara iman.
Zulqarnain adalah kisah setiap raja soleh yang ingin dan mampu membawa kebaikan di dunia.

Dalam kehidupan sekarang ini, akan ditemui lebih dari satu Firaun yang sombong.
Kita akan temui Ahli Kahfi yang mengasingkan diri demi memelihara aqidah.
Kita akan temui lebih dari satu Samiri yang menyesatkan dan lebih dari satu Qarun yang menyembah harta dan emas!

mudin001 said...

Saya kira saya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang saya tulis. Maka biar saya jelaskan dengan apa yang saya maksudkan dengan kata-kata:

"Pada saya, kebenaran AlQuran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian, malah AlQuranlah yang akan membuktikan benar atau tidaknya sesuatu."

Apa yang saya maksudkan ialah, bukannya sebarang kajian tidak perlu. Yang dimaksudkan oleh saya ialah, kebenaran Al-Quran itu sendiri, tidak memerlukan apa-apa kajian untuk membenarkannya. Jika tidak ada sebarang kajianpun dibuat untuk membuktikan 'kebenaran al-Quran', saya sudah cukup yakin bahawa al-Quran itu benar.

Maka, secara khususnya saya tidak setuju dengan kata-kata ini:

"Dan dengan ditemukannya sosok zulqarnain quranik ini dalam sejarah, maka akan membuktikan kebenaran Nubuat Kitab Suci Al-Quran."

Kerana konotasinya seolah-olah mengatakan bahawa jika tidak ditemui siapa itu Zulqarnain, maka kebenaran AlQuran tidak terbukti.

Kata-kata saya diatas, perlulah dibaca dengan merujuk kepada jawapan saya terhadap kata-kata MA itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

mudin001 said...

Merujuk kepada ulasan buku AAZ oleh MA di blog saya, saya kira pemerhatian Sdr Imran Azmi adalah tepat, bahawa:

"Apa yang baca dalam blog Najmuddin dan perbincangan dalam Goodreads Malaysia, ia adalah kritikan terhadap gaya penulisan penulis dan mutu suntingan PTS, bukan poin yang disampaikan oleh penulis."

Benar. Jika dibaca kembali, kritikan2 saya boleh diringkaskan kepada:

1. Gaya penulisan penulis iaitu, penulis 'kelihatan tidak objektif', seolah-olah beliau sahaja yang betul, hujah lain adalah keliru, salah, terpengaruh dengan barat dll.

2. Terlalu banyak pengulangan menjadikan ketebalan buku tidak munasabah.

3. Kualiti suntingan oleh PTS.

Sekalipun saya tidak menyangkal bahawa Alexander adalah Zulqarnain ataupun tidak, malah saya tidak berminat pun untuk berbuat demikian. Saya tidak ada satu hujah pun untuk mengatakan Alexander adalah Zulqarnain atau sebaliknya. Seperti yang telah saya sering ulangi, bagi saya itu tidak penting. Bagi saya, orang lain mungkin berbeda.

Saya juga tidak pernah menyebut bahawa kajian Sdr MA adalah sia-sia. Malah, di dalam ulasan saya, disebut bahawa:

"aku menghargai usaha yang dibuat oleh penulis untuk mengkaji dan kemudiannya mempersembahkan kepada pembaca hasil kajiannya. Yang kemudiannya terhasillah buku ini. Cuma aku rasa, penulis boleh melakukan lebih baik dari ini"

Web Sutera said...

Tuan Najmuddin, terima kasih atas penerangan terhadap "Pada saya, kebenaran AlQuran tidak perlu dibuktikan dengan apa2 kajian, malah AlQuranlah yang akan membuktikan benar atau tidaknya sesuatu." Saya faham maksud tuan.

Saya petik semula tulisan Tuan Imran Azmi: "Jika tidak bersetuju dengan Alexander adalah Zulqarnain, silakan menulis buku yang Bukan Alexander adalah Zulqarnain. Saya amat ternantikan penulisannya." Tuan Imran kelihatan sedikit beremosi di sini.

Untuk makluman Tuan Imran, saya, Khairul H, Najmuddin dan bepuluh ribu pembaca lain membeli, menelaah dan mengkritik buku-buku terbitan PTS, termasuk mutu suntingan para editornya. Adakah kami sebagai pembaca tiada hak untuk berbuat demikian? Ulasan dan kritikan mungkin bukannya tidak bersetuju dengan isi kandungan. Ada isu lain yang diketengahkan.

Saya pun sudah usai menelaah buku Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain oleh Tuan Afareez Abdul Razak Al-Hafiz. Saya meneruskan pembacaan untuk Alexander adalah Zulqarnain oleh saudara Muhammad Alexander.

Imran Azmi said...

Tuan Web yang dihormati, saya jawab komen saya ini:

"Jika tidak bersetuju dengan Alexander adalah Zulqarnain, silakan menulis buku yang Bukan Alexander adalah Zulqarnain. Saya amat ternantikan penulisannya." Tuan Imran kelihatan sedikit beremosi di sini.

Saya tidak kisah sekiranya kritikan dibuat ke atas mana-mana buku dan mana-mana penulis. NAMUN, perlu diselitkan juga ADAB apabila mengkritik, perlu dipelajari dan difahami ilmu-ilmu dalam menghadapi ikhtilaf. Namun, saya amat kecewa apabila kritikan dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan:

1. Apa impak yang akan berlaku pada nama penulis?

2. Apa impak yang akan berlaku pada hasil karya penulis?

3. Apa impak yang akan berlaku kepada penerbit?

Kita, baik pembaca, penulis mahupun penerbit BERUSAHA mencari yang terbaik. Namun, tidak semua yang baik itu tidak ada kelemahannya.

Bagi saya komen di Goodreads adalah bersifat peribadi dan memang tidak semua pembaca ada akses masuk ke dalam Goodreads. Tetapi, komen yang di blog-blog secara terbuka boleh menjatuhkan maruah seseorang. Bagaimana seseorang yang belum pernah membaca AAZ tetapi membatalkan hasratnya semata-mata komen negatif di web dan blog?

Sekiranya kelemahan itu boleh diperbaiki, kenapa tidak diemelkan sahaja kepada penerbit? Dengan ini penerbit tahu dan membuat tindakan susulan untuk cetakan seterusnya. Bukan membiarkan penerbit terus dalam keadaan betul sedangkan perkara itu salah.

Atas sebab itu, saya meminta orang yang cerdik pandai, sekiranya mampu mengkritik atas kajian orang lain, maka perlu mampu juga mempunyai ilmu yang cukup. Biarlah diri ibarat bertemu buku dengan ruas. Ibarat peninju kelas heavyweight bertemu dengan kelas heavyweight. Jika begini saya cukup meraikan kajian dengan kajian sebagaimana yang disebut oleh Ustaz Hasrizal dan Tuan Web.

Jika kritikan berkaitan penulisan dan suntingan, buka pada halaman ii, di situ ada segala maklumat penulis. Boleh hubungi terus dengan penerbit. Saya yakin, penerbit akan mengambil tindakan selanjut. Maka dengan itu, kritikan-kritikan ini tidak lagi timbul.

Bagi saya lagi, tindakan Tuan Web berkongsi topik ini dalam web ini cukup rasional, adil dan berinfomasi. Malah, ia mempertemukan orang yang mengkritik, orang yang dikritik dan orang yang pakar dalam bidang ini.

Sekian, terima kasih.

Web Sutera said...

Mesej ini khusus untuk penulis Tuan Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko dan Editor PTS Tuan Imran Azmi. Semoga tuan-tuan berdua sentiasa beroleh kasih sayang dan cinta Allah. Amin!

Saya baru selesai menelaah (bukan setakat membaca) bab pendahuluan buku Alexander adalah Zulqarnain. Metod dan kajian penerbitan buku ini dalam usaha mencari siapa sosok Raja Zulqarnain saya sanjungi. Ianya amat wajar diakui sebagai usaha murni membersihkan anasir-anasir Barat (dan Yahudi, mungkin) terhadap sosok insan mulia yang diperikan dalam Quran.

Saya bersetuju dengan Tuan Muhammad Alexander dalam perihal mengkaji penulisan dalam teks Yunani-Rom kuno dan Barat moden yang mencemarkan keimaman Alexander the Great. Bahawasanya mereka (penulis Yunani-Rom kuno dan Barat moden) memberikan kesimpulan berasaskan persekitaran Yunani-Rom kuno pagan dan tidak beriman.

Tidak terlalu awal, mungkin, untuk saya katakan bahawa inilah buku yang pertama di dunia yang memberikan satu persembahan yang berautoriti dan autentik.

Penerokaan dan taakulan saya diteruskan....

Moh. Alexander said...

Assalamu'alaikum kepada semua
semoga Allah memberkahi diskusi ini demi Keagungan Kalimah-Nya dan Kebenaran Misi rasulullah Muhammad saw dengan kebenaran mukjizat Qur'an yang semakin hari semakin terbukti kebenaran khabar di dalamnya.

Saya ingin berkongsi mengenai pengkajian Zulqarnain Quranic dalam ayat ini:



EPISODE PERJALANAN ZULQARNAIN DALAM QURAN SURAT AL KAHFI 83-99:

[83] Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:
[84] Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakand tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[85] Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

PERJALANAN EPISODE KE-1 ZULQARNAIN
[86] Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam (MAGHRIB ASY-SYAMS), ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur (‘AININ HAMIAH), dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.
[87] Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88] Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.
[89] Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
PERJALANAN EPISODE KE-2 ZULQARNAIN
[90] Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit (MATHLAK ASY-SYAMS), ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91] Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
[92] kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

PERJALANAN EPISODE KE-3 ZULQARNAIN
[93] Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung (BAINA SSADDAINI), ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
[94] Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
[95] Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
[96] Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.
[97] Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98] (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
[99] Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.

Imran Azmi said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Tuan Muhammad Alexander kini berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL11). Bagi mendapat maklumat lanjut, boleh bertemu beliau di PWTC sehingga 1 Mei 2011.

Program di Pentas Utama, PWTC adalah pada 29 April 2011.

Jemput hadir beramai-ramai.

Web Sutera said...

Sewaktu teman-teman membaca komen terakhir ini, saya sudah menelaah buku Alexander adalah Zulqarnain yang ditulis oleh Tuan Wisnu Sasongko, dari kulit ke kulit. Saya juga menjadikan buku ilmiah ini sebagai rujukan utama dalam menyiapkan novel Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain.


Photobucket
top