Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Berpuluh tahun yang lalu....

Aku teringat kepada satu peristiwa. Suatu hari semasa di tingkatan dua, anak sulongku mengirim surat, mengatakan bahawa baju sekolah dia sudah koyak. Rupa-rupanya anakku hanya memiliki sehelai baju sekolah sahaja tanpa aku sedari. Dia tidak pula memberitahu kepadaku berkenaan perkara itu.

Sebaik sahaja aku selesai membaca suratnya, air mata ibu ini tidak tertahan lagi. Tertumpah, rawan menangisi akan betapa anak itu tidak mahu menyusahkan orang tuanya, walaupun baju sekolah hanya sehelai. Aku bertambah pilu bila memikirkan tatkala itu kehidupan aku bersama suami dan anak-anak yang lain tidaklah susah sangat.

Sungguh dia anak yang baik. Alhamdulillah, doa aku saban waktu termakbul. Namun aku tidak dapat membayangkan bagaimana dia membasuh baju itu setiap hari dan mengeringkannya sebelum ke sekolah pada keesokan hari pula. Sampai koyaklah. Aduhai anak!

Dengan keputusan cemerlang dalam SRP, anakku ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Dungun. Dalam masa yang sama suamiku telah menghantar keputusan peperiksaan anak ke pejabat Felda untuk tindakan susulan. Justeru itu, pihak Felda juga menawarkan sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.

Memandangkan banyak kemudahan yang diberikan oleh Felda kepada anak-anak peneroka yang cemerlang di Asrama Semai Bakti Felda, jadi suamiku memutuskan supaya anak sulong kami menerima tawaran itu. Perbelanjaan permulaan tidak dibebankan sangat kepada ibu bapa. Malahan perbelanjaan bulanan seperti bayaran asrama, makan-minum, pengangkutan bas, dan yuran tusyen ditanggung Felda. Ada sedikit bayaran yang akan ditolak dari pendapatan bulanan suamiku. Justeru itu tidak terlalu membebankan.

** 'Anak itu' sentiasa mengrinduimu, mek. Walaupun dikau sudah kembali ke alam abadi, 'anak itu' sentiasa membawa kenangan sepanjang hayat. Jasamu mek, 'anak itu' tidak akan dapat membalasnya. Hanya kepada Allah 'anak itu' berdoa.

2 comments:

Elle Syeila said...

Asrama semai bakti mengingatkan saya pada rakan-rakan sekolah yang datang dari asrama ini, ada juga meninggalkan antara catatan berharga dalam hidup untuk dijadikan pengajaran seperti jangan persiakan peluang yang ada dan mengikut kehendak duniawi semata.

Web Sutera said...

Sdr Elle, akhirat amat perlu, dunia juga kita perlukan sebagai jambatan. Bajailah diri kita dengan ilmu.


Photobucket
top