Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Sejak akhir-akhir ini saya lihat PTS dan kumpulan anak syarikatnya begitu aktif menerbitkan kumpulan novel yang bermutu dalam pelbagai genre, terutamanya novel dewasa, sai-fai, Islami dan thriller. Pelbagai jenama atau imprint PTS diteroka.

Saya sebagai pengemar buku dan novel sebegini cukup teruja dengan perkembangan sihat ini. Dalam kesibukan menguruskan rezeki anugerah Allah, saya sentiasa mengikuti secara dekat setiap perkembangan dunia penerbitan negara, terutamanya buku-buku dalam bahasa Melayu.


Jika 10 tahun lepas, dunia penerbitan buku bahasa Melayu agak malap, dewasa ini ianya semakin mengebu-gebu (pinjam kata-kata Sifu Ainon). Jika 10 tahun lepas saya susah untuk mencari novel-novel bermutu dari penerbit Melayu, sekarang alhamdulillah, payah pula untuk saya memilih! Kalau diikutkan hati, semua saya mahu beli dan baca.


Satu yang pasti, chef Lusiana Catering akan merungut, begini: "Nampak gaya saya kena beli rak buku lagi." Memang pun, rak buku terbaru yang baru dibeli lebih kurang dua bulan lepas sudah hampir penuh.
Sebagai rekod, chef saya membaca enam buah novel pada bulan April 2009, termasuk Salju Sakinah terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. dan Syahadat Cinta terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. Memang satu rekod baru dicipta dalam keluarga saya. Siapa boleh cabar rekod ini?

Teruskan perjuangan, PTS. Saya sentiasa menyokong perkara yang baik, insyaallah. Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang baru tamat, saya ke gerai PTS sebanyak enam kali (walaupun lima kali saya tersepit!), dan hasilnya seperti di atas.
Pada satu ketika di suatu lokasi di Cyberjaya. “Kau sekarang ini senanglah sejak Pakatan Rakyat (PR) menang di Selangor,” kata seorang sahabat sambil menghembus asap rokok menghala ke dahan pokok kelapa sawit yang terjuntai hampir ke bumbung bangunan.

“Mengapa kau kata begitu,” soal saya sambil memandang tepat ke mukanya.


“Yalah, senang kau dapat bisnes,” balasnya tersengih-sengih.


“Shah, aku memang menyokong PAS dan mana-mana pihak yang berkawan dengan PAS. Aku gembira sejak PR memang di Selangor. Namun aku tetap macam dulu sejak aku memulakan bisnes katering ini.


“Aku masih melakukan tugas-tugas pemasaran dan jualan seperti biasa, tiada berubah. Kau hendak aku melutut kepada wakil rakyat kawasan aku atau mana-mana Exco Selangor? Kirim salam!”


Pokok persoalan di sini ialah apa yang sering kita sebutkan sebagai aktivit melobi. Sokongan saya terhadap PR bukan bertujuan bisnes atau mana-mana kepentingan peribadi yang lain. Apa yang saya inginkan ialah sebuah negara Malaysia yang lebih baik untuk rakyat dan generasi mendatang.


Saudara Iskandar Abdul Samad memenangi kerusi ADUN Chempaka di pilihanraya ke-12 lalu. ADUN kawasan saya ini dilantik sebagai Exco Selangor pula. Saya mengenali beliau dan beliau pula pernah beberapa kali berkunjung ke rumah saya. Adakah saya menelefon beliau sejak menjadi Exco bagi mendapatkan projek? Demi ALLAH, tidak pernah!


Tetapi sekiranya kerajaan PR Selangor dan jabatan-jabatan kerajaan negeri meminta saya menyediakan sebut harga bagi perkhidmatan katering, saya tidak akan menolak. Begitu juga sebarang permintaan atau pesanan yang diterima dari jabatan atau kementerian kerajaan persekutuan, pasti saya terima dengan rasa senang hati.


Pegangan saya tetap jitu; usaha, doa dan tawakkal. Rezeki dari Allah, saya hanya menguruskannya.


(Gambar: Salah satu persediaan meja pengantin untuk katering perkahwinan)

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top