Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Photobucket
(Antara novel-novel Ramlee Awang Murshid)
Saya dan chef Hana (isteri) mempunyai dua kumpulan rakan-rakan rapat. Kumpulan atau kelompok rakan-rakan yang pertama ialah dari kalangan staf dan bekas staf MIMOS Berhad dan Jaring Communications Sdn. Bhd. Kelompok ini sudah lama terbina dan sehingga sekarang saya terutamanya (walaupun sudah berhenti dari MIMOS dan Jaring) dan isteri sering bertemu dalam pelbagai aktiviti. Pastinya mereka sering sahaja meminta isteri sediakan juadah untuk santapan.
Kumpulan terbaharu pula terbina melalui Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (RAMFC) yang ditubuhkan sedikit masa dahulu. Saya memang mencintai buku dan novel yang baik. Justeru itu, Ramlee Awang Murshid merupakan salah satu penulis yang saya minati, malah saya menjadi pembaca tegar karya-karya beliau.
Sudah beberapa kali RAMFC mengadakan perjumpaan, mesyuarat dan sesi beramah mesra untuk ahli-ahli dengan kehadiran saudara Ramlee. Terkini RAMFC mengadakan satu perjumpaan atau perhimpunan yang dinamakan Membongkar Rahsia Perindu – Lepak Santai RAMFC yang diadakan di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya pada 28 Februari 2009.

Saya dan isteri berbesar hati menyediakan beberapa juadah sebagai tanda sokongan kami untuk RAMFC. Termasuk dalam juadah khas ialah kek pulut kuning bersama rendang daging bagi meraikan ulang tahun perkahwinan saudara Ramlee dan isteri, Dayang Aminah binti Datuk Aliudin.

Hidangan lain ialah rendang ayam, nasi impit, samosa kentang dan teh tarik. Untuk melihat antara gambar-gambar yang saya rakam pada hari tersebut, sila baca di sini; Juadah dan ukhuwah di pertemuan Mengbongkar Rahsia Perindu, RAMFC di Putrajaya.

Okey, apa yang pasti saya dan chef Hana cukup gembira hari itu. Tahniah dan syabas saya ucapkan khusus untuk Elle dan Attoks kerana berjaya menjadikan hari itu indah, walaupun cuaca panas terik.

Terus terang saya katakan bahawa chef Hana dan saya memang agak kepenatan justeru kerana sudah tiga hari berturut-turut sibuk dengan katering. Namun demi semangat ukhuwah, chef Hana dengan cekatannya menyediakan masakan bagi rakan-rakan RAMFC. Apa yang pasti, sampai sahaja di rumah chef saya itu terus pengsan di sebelah anak kecil saya yang berusia 1 tahun 5 bulan.

Terima kasih saya ucapkan kepada Pengurus Besar Alaf21 Sdn. Bhd, Encik Nordin Mohamed kerana terus sudi dan menyokong RAMFC dan segala aktiviti yang dijalankan. Seperti biasa ada perkara dan isu yang saya bincangkan bersama Ramlee dan En. Nordin, mencakupi dunia sastera dan penerbitan Malaysia. Ada bisik berdesing di telinga, ada rahsia dikongsi.

Kepada rakan-rakan RAMFC, kehadiran kalian cukup bermakna bagi saya dan AJK yang lain. Terima kasih daun keladi atas pujian sajian ala kadar yang chef Hana sediakan.

Saya, chef Hana dan dua orang anak membawa pulang kenangan dan hadiah. Kami tidak menyangka bahawa dapat menjadi naib johan bagi acara mencari harta karun. Plak hadiah dan cenderahati amat unik dan artistik. Tahniah sekali lagi kepada Attokz.

Kepada Ramlee, teruskan berkarya. Kami di RAMFC berbangga dengan pencapaian saudara dalam penulisan novel yang kontemporari dan berdaya maju. Harapan saya secara peribadi ialah saudara Ramlee dapat melahirkan novel sains fiksyen, novel sejarah dan fiksyen sejarah di masa hadapan. Saya berdoa semoga saudara terus diberi kekuatan oleh Allah dalam melestarikan dunia novel Melayu dan Islam.

Saya kira tidak keterlaluan sekiranya saya katakan Ramlee telah berjaya membuka satu arus baru dalam penulisan novel dalam bahasa Melayu. Novel berbentuk thriller dan misteri yang matang itu telah diselitkan dengan unsur-unsur murni dalam Islam serta nilai murni masyarakat Malaysia.

Suka saya nyatakan di sini bahawa novel berbentuk demikian mempunyai penggemar di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Sudah sekian lama pasaran negara dibanjiri dengan novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat. Usaha murni Ramlee, yang amat berjaya, harus diteruskan dan diikuti oleh penulis-penulis yang lain.

Novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat sudah semestinya, antara lain, memuatkan nilai-nilai budaya barat yang kurang sesuai dengan masyarakat timur, terutamanya masyarakat Malaysia. Walaupun tidak dinafikan ada unsur-unsur kemanusiaan sejagat dalam karya-karya kreatif dari barat, namun demi untuk menyampaikan mesej mereka, ada sesetengah (bukan semua) penulis barat lebih cenderung menerapkan propoganda barat yang kadang-kadang terlalu bobrok dan hodoh.
Photobucket
P/s: Novel MIKHAIL bakal terbit. Saya tidak sabar untuk membacanya!

3 comments:

Syada said...

salam. MIKHAIL ni citer ttg apa?

DeePo said...

hello....

may i know where to get RAM 4 other books (pei pan, anugerah pertama, igauan maut and personal justice?)....

plz help me..

Web Sutera said...

Hi DeePo. Please check RAMFC blog at http://www.kelabram.com. They have info where to buy. Sorry for very late reply, just stumble upon your query..


Photobucket
top