Ketabahan dan kecekalan menanggung penderitaan sejenis penyakit yang kronik selama beberapa tahun telah berakhir apabila sebutir nama yang dikenali dalam dunia penulisan novel, Fazie Hanna pergi menyahut panggilan ILAHI pada waktu maghrib, hari Isnin bersamaan 7 Mei 2007.
Beliau meninggal dunia akibat penyakit Acute Intermittent Porphria (sejenis penyakit yang melibatkan kekurangan enzim dalam darah yang bertanggungjawab terhadap pembentukan hemoglobin. Akhirnya, mengganggu sistem saraf di dalam badan) setelah koma beberapa hari.
Novelis yang cukup popular dengan novel Rindu yang Pergi dan Badai di Hati sangat peramah dan lemah lembut. Pernah sekali beliau datang ke Alaf 21 semata-mata ingin mengenali warga kerjanya. Dengan bertongkat, beliau menggagahkan diri berjalan dan menemui staf Alaf 21. Kami sendiri tertanya-tanya bagaimana beliau bisa menulis dalam keadaan menangani penyakit yang ditanggungnya.
Dalam diam kami begitu kagum kerana beliau cekal menyiapkan dua novel walaupun sering kali keluar masuk hospital. Malah, dalam kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau sanggup melunaskan tanggungjawabnya sebagai guru. Begitu prihatinnya beliau mendidik anak bangsa agar berjaya dalam hidup. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Kini, sebutir harapan daripada Allahyarham hanya tinggal kenangan, bak kata pepatah 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Sekurang-kurangnya, beliau pergi dengan meninggalkan harta yang paling berharga yang sentiasa menjadi tatapan masyarakat iaitu novel Rindu yang Pergi dan Badai di Hati. Sememangnya, agak tersentuh apabila membaca kedua-dua novel ini. Segala urusan royalti beliau, pihak Alaf 21 telah dipertanggungjawabkan untuk menyerahkannya kepada waris terdekat.
Sepatah dua kata Allahyarham di dalam novelnya iaitu semoga dengan membaca pengalaman orang lain, kita dapat menilai sejauh mana kekuasaan ALLAH dan menilai sejauh mana kelemahan insan.
0 comments:
Post a Comment