Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Pada suatu ketika saya berborak dengan seorang rakan dari CyberSecurity Malaysia dalam Facebook. Selepas berjimba, beliau bertanya, “Kau mahu bercakap fasal buku di pejabat aku, di pusat maklumat?"

Saya pantas menjawab, “Semestinya mahu."

Lalu kami terus bersembang. Saya cadangkan dua buah buku untuk disembangkan – Novel sejarah Macedonia: Alexander Agung dan buku tarbiah rohani Berfikir Gaya Champion – yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu.

Sahabat itu bertanya, “Bila kau ada masa?" 

Saya menjawab, “Bermula bulan Februari aku sibuk sedikit dengan urusan Pesta Buku 1Malaysia dan katering. Kalau sebelum itu, insya-Allah, aku boleh.”

“Okey. Nanti aku tanya pihak pusat maklumat. Kau kenal (Puan) Zaleha?" 

“Apa tidak kenal pula. Kawan lama aku di MIMOS itu." 

“Okey. Mudah cerita." Jeda beberapa ketika. Kemudian sahabat saya itu menghubungi saya kembali. 

“Okey. Aku sudah dapat tarikh. Kau okey pada 23 hari bulan ini?”

“Insya-Allah, aku okey." Kami terus berbual beberapa perkara mengenai buku, sebelum ditamatkan dengan salam kesejahteraan. 

Pada 16 Januari, saya menerima e-mel ini. “Assalamualaikum. Apa khabar? Harap semuanya sihat sejahtera dan ceria selalu. I was informed by Redy Jeffri that you are interested to be our Book Chat sharer. Kami sangat mengalu-alukan niat Hizam itu.

“I reserve 23rd January, next Wednesday from 11.30 am – 12.30 pm (or 1.00pm) for you. Is that possible?" 

Saya menjawab e-mel itu. “Okey, insya-Allah. Terima kasih banyak dengan peluang yang diberikan. Saya akan bercakap dan berlabun berkenaan dua buah buku di bawah:
1) Novel sejarah | Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (2012)
Kategori:Novel Dewasa
Tebal: 470 muka surat
ISBN: 978-983-097-360-9
Harga: Sem. M'sia: RM20.00. Sabah/Sarawak: RM22.00 
Harga diskaun untuk staf Cyber Security: RM16.00 

2) Buku tarbiah rohani | Berfikir Gaya Champion
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (2013)
Tebal: 200 muka surat
ISBN: 978-983-097-342-5
Harga: Sem. M'sia: RM17.00. Sabah/Sarawak: RM19.00
Harga diskaun untuk staf Cyber Security: RM14.00


Sehari sebelum itu, yakni pada 22 Januari, saya bergegas ke pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara untuk dapatkan naskhah kedua-dua buku itu. Usai asar, saya pecut jumpa Tuan Amir. Sebelum itu saya sudah maklumkan akan maksud kedatangan saya untuk membeli buku bagi tujuan sembang buku.

Usai bertukar buku-buku dan duit, walaupun tahu beliau sibuk dan ada tugas khas, saya belasah berlabun juga. Antara isi berjimba ialah peranan editor dan penulis.

Saya berkata, "Editor yang baik bukan setakat betulkan salah ejaan sahaja." Tuan Amir bersetuju justeru beliau editor yang faham bidang tugasnya.

Akhirnya saya berkata, "Insya-Allah, tunggu sebelum PBAKL 2013, saya akan hantar cadangan novel berjudul KOMBAT ARMAGEDON. Sedang giat mengkaji."

Sembang buku dari 11.30am - 1.00pm; novel Macedonia: Alexander Agung dan buku motivasi tarbiah Berfikir Gaya Champion. Kesempatan juga diambil untuk menjual kedua-dua judul terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd ini. Alhamdulillah, laris.

Saya baru tahu yang perpustakaan khusus ini mengadakan sesi sembang buku pada setiap minggu. Saya teruja justeru pihak Knowledge Management Center (KMC), CyberSecurity Malaysia mengambil inisiatif ini.

Insya-Allah, saya juga turut kemukakan dua orang penulis prolifik - Tuan Ramlee Awang Murshd dan Tuan Abdul Latip - untuk dihubungi oleh pihak CyberSecurity Malaysia.

Photobucket

Laporan pelapor / wartawan CyberSecurity

KMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Web Sutera (nama sebenar Hizamnuddin Awang) di atas kesudian beliau berkongsi pengalamannya sebagai penulis dan editor.

Beliau pernah menjadi pengarang jemputan segmen mingguan ‘Sisipan Komputer’ di Berita Harian dan menulis pelbagai artikel berkaitan IT, bisnes, dan motivasi.  Setakat ini, beliau mempunyai 5 buah buku yang telah diterbitkan (tidak termasuk beberapa buah ebook). Terima kasih juga buat para hadirin yang meluangkan masa bersama kami pagi tadi.

Web Sutera memulakan sesi Book Chat kali ini dengan sedikit pengenalan tentang dirinya sendiri, bagaimana beliau mula menulis, dan apa pula yang mendorongnya untuk terus menulis.

Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain

Ini merupakan sebuah novel sejarah mengenai Alexander the Great (Alexander Agung) dari Macedonia. Web Sutera menggabungkan fakta sejarah dan unsur fantasi agar pembaca lebih berminat membaca naskhah ini.

Seperti yang dinyatakan oleh penulis novel ini sendiri, Hijab Raja Zulqarnain dihasilkan berdasarkan kepada sebuah buku yang bertajuk Alexander Adalah Zulqarnain hasil karangan Muhammad Alexander atau Wisnu Sasongko. Dari segi bahasa, bahasa Melayu yang digunakan adalah standard dan mudah untuk difahami. Bahkan, watak Alexander itu sendiri dimelayukan agar pembaca lebih mudah mengenali siapakah tokoh ternama ini.

Ada dua pendapat tentang Alexander the Great:

1) Golongan yang percaya bahawa Alexander bukan Iskandar Zulqarnain.
2) Golongan yang percaya bahawa Alexander adalah Iskandar Zulqarnain.
 
Berbekalkan fakta sejarah, kajian, temuramah dan rujukan, Web Sutera akhirnya berjaya menggarap sebuah novel yang santai tetapi padat dengan ilmu.  Tujuannya menulis buku ini adalah untuk memperbetulkan fakta, teori, dan menepis tohmahan yang dilemparkan kepada Alexander the Great (Yahudi melabel beliau sebagai pembunuh dan gay).  Buku ini cuba membersihkan kembali nama Alexander the Great, setidaknya itulah perkara yang boleh kita pelajari dari novel ini. Dan ternyata Alexander the Great dan Iskandar Zulkarnain adalah orang yang sama.

Photobucket
 Berfikir Gaya Champion
 
“Kita mungkin tidak boleh menulis buku motivasi jika kita sendiri tidak mengalaminya (kegagalan / kesukaran)”. – Web Sutera
 
Buku yang masih hangat lagi – baru sahaja diterbitkan dan belum pun memasuki kedai-kedai buku. Buku ini dihasilkan atas kebangkitan penulis sendiri selepas melalui zaman getir.  Setelah nekad meninggalkan kerjaya, beliau berusaha gigih dalam memajukan perniagaan.
 
Penulis tidak menafikan bahawa beliau pernah mengalami kekecewaan. Tapi beliau percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rezeki Allah itu ada untuk setiap hamba-Nya yang berusaha, berdoa, bertawakal dan redha.
 
Ini bukan kisah duka dan lara, ini adalah kisah bagaimana seorang insan biasa – seperti saya, anda, kita semua – menjadi manusia Champion dalam menongkah arus kehidupan.

Ianya sebuah buku yang sarat dengan kisah inspirasi untuk membina semangat juang dalam diri setiap orang khasnya umat Islam, dan menjadikan Rasulullah (SAW) teladan Champion sepanjang zaman.
 
Penulis mengajak pembaca bangkit untuk memperbaiki diri, kerjaya, dan seterusnya rezeki. Beliau mengajak pembaca berani mencuba.  Islam tidak menghalang umatnya mengejar kekayaan kerana dengan kekayaaan kita dapat bersedekah dan berjihad.  Cuma Islam mengajar kita berhati-hati dalam menguruskan kekayaan. Berfikir Gaya Champion ditulis dengan bahasa santai namun penuh tarbiah.
 
Bagi anda yang ingin mendapatkan buku-buku karya Web Sutera ini, terdapat beberapa naskah untuk dijual di KMC. Sila dapatkan pada harga istimewa.

Photobucket

0 comments:


Photobucket
top