Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Semalam (29 Julai), Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, kedua-dua perhimpunan yang masing-masing membantah dan menyokong ISA merupakan perhimpunan haram kerana pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk tujuan itu atas sebab keselamatan dan ketenteraman awam.

Malah beliau turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan.


Walaupun polis berkeras dengan ‘kuasanya’ yang diberi rakyat untuk menangkap atau melakukan provokasi, walaupun pemimpin kerajaan akan menggunakan segala kuasa yang ada, namun sampai bila rakyat harus berdiam diri?


Menyokong atau membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), itu adalah hak rakyat Malaysia. Perhimpunan merupakan HAK RAKYAT! Siapa polis untuk menghalang? Polis berlagak dengan ‘kuasa’ yang rakyat Malaysia serahkan kepada mereka.


Ternyata juga pihak Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang dikatakan menyokong ISA akan meneruskan perhimpunan pada Sabtu ini dan bersedia menerima sebarang tindakan termasuk ditahan polis.


Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata pihaknya tidak akan menghadiri perjumpaan dengan pihak polis petang semalam berhubung arahan supaya membatalkan perhimpunan anti-ISA anjurannya, Sabtu ini.
Beliau berkata, tidak bermakna bagi GMI menghadiri perjumpaan tersebut, "kerana pihak polis pun sudah memberi amaran".

Polis memberi amaran. Ibrahim Ali melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggunakan kata ‘huru-hara’, dan ada bos persatuan silat berkata ‘jangan bertembung’. Itu semua elemen awal kepada provokasi.


Tanpa menafikan hak mereka menyokong, namun saya melihat usaha Magaran dan Perkasa untuk mengadakan perhimpunan menyokong ISA pada tarikh yang sama merupakan elemen provokasi juga. Bukankah GMI terlebih dahulu yang memilih tarikh itu? Saya tidak boleh lari dari persepsi bahawa ‘ada tangan-tangan hitam yang menjadi tali-barut’ dalam hal ini.


Bagi polis pula, jangan angkuh dengan kuasa yang diberi rakyat. Sepatutnya polis menjaga dan memantau supaya perhimpunan itu terkawal. Ini tidak, amaran demi amaran, ugutan demi ugutan untuk menggunakan kuasa yang mereka ada.


Polis kini menakutkan rakyat, bukannya menjaga rakyat.
Saya takut dan hanya berlindung kepada Allah yang Maha Pelindung.

Pautan khas:
Dua Wajah membuka rahsia kezaliman penggunaan ISA

0 comments:


Photobucket
top