Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Pesta buku adalah acara yang saya sukai, terutamanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun. Sebelum menulis secara serius pun, saya tidak berdaya mengekang desakan hati dan langkah kaki untuk ke PBAKL. Justeru saya sering berkata kepada kawan-kawan, “Aku kedekut untuk membeli baju. Tapi kalau buku, andai ada duit, aku akan tetap membelinya saban bulan.”
Oleh sebab itu juga, di kalangan teman-teman rapat bekas rakan sekerja di MIMOS dan JARING, saya sering dilabelkan sebagai ‘si penggila buku’. Saya tidak kisah dengan gelaran itu, malah saya sering mengajak mereka pergi ke pesta buku sambil berkata, “Daripada melepak dan pergi ke pusat membeli belah tak tentu hala, baik ke pesta buku. Kalau tak belipun, paling tidak dapat cium bau buku.”
Di rumah saya cukup selesa bersama buku-buku di rak dan tenang melihat banyak buku tersusun (walaupun acap kali tak tersusun sangat pun). Dunia buku selari dengan dunia keilmuan. Pada hemat saya, sekiranya seseorang itu suka membaca, paling busuk ada juga ilmu yang dapat diambil. Cuma ... ambil yang baik dan perkara tak baik buat tauladan.

Apabila mulai serius menulis buku pada tahun 2011, PBAKL memang saat yang sangat saya tunggu. Kini PBAKL 2015 diambang pintunya dibuka. Jujurnya tidak sabar untuk ke sana, bukan sahaja kerana saya ada buku baharu, tetapi juga kerana ingin bertemu teman-teman pembaca. Bersama teman dan sahabat yang gila buku membuatkan saya rasa tenang.

Ayuh kita ke PBAKL 2015! Merasai sendiri para penggila buku dan ilmu berpusu-pusu datang adalah pengalaman dan pemandangan yang sangat asyik. Kalau kalian tidak pernah merasainya, jom kita bergerak. Insya-Allah, kalian akan melihat situasi yang cukup menarik.
Banyak kali saya bercerita kepada teman-teman semasa dalam pemanduan atau borak-borak di kedai mamak kandungan buku ini. Antara teman yang setia mendengar celoteh saya ialah editor buku kreatif Galeri Ilmu Sdn Bhd, Tuan Amir Abdul Hamid.
 
Antara lain, bahawa saya dan isteri berlainan persepsi dan taakulan terhadap beberapa peristiwa hidup. Kadangkala isteri saya rapuh, saya kuat. Ada ketika saya rapuh, dia kuat. Kami saling melengkapi dalam mendepani mehnah dan ujian hidup. Insya-Allah, saya tak malu untuk terus belajar, kerana saranan Islam ialah belajar sepanjang hayat.

** Gong Xi Fa Chai. Saya ada sebuah lagi manuskrip yang sudah siap. Sekarang sedang buat suntingan sendiri. Harap sempat untuk PBAKL 2015 nanti. Sebuah novel juga.
Subhanallah! Melihat buku dan kitab oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di rak, terlintas bahawa beliau masih hidup. Saya merinduinya. Allahu Allah!

Pengganti beliau tetap akan muncul sebagai Murabbi umat. Legasinya .. akan saya lestarikan!

Aku tak ingin menangis
tak mahu berduka membawa lara
tatkala dirimu pergi tinggalkan kami;
Justeru ...pergilah, wahai roh yang tenang
menemui cintamu yang sejati
kerana aku dan kami juga akan menyusul kemudian nanti.

Itu janji maha benar
tidak terkecuali untuk semua yang hidup;
Damailah dirimu di sisi Allah
sedang aku akan terus mencicip setiap buah bicara dan tintamu
wahai Murabbi umat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam penulisan novel sejarah PERANG ARMAGEDON dan BAITULMAQDIS: Petaka Armagedon, banyak sifat watak-watak utama saya ambil ibrah dari sikap dan fikrah perjuangan beliau. Antara sedar atau tidak, fikrah beliau mengalir laju dalam ingatan minda saya, tersemat di dalam sanubari hamba Allah yang banyak dosa ini.

Dalam pengkaryaan buku Berfikir Gaya Champion, 50 Sup Champion Resipi Rasulullah dan Hijrah Champion Gaya Rasulullah, banyak saya kutip dan kongsikan mutiara fikrah beliau. Pastinya ... saya merindui susuk besar ini. Beliau seorang Murabbi dan pemimpin kesayangan saya. 

Nabi Muhammad SAW menegaskan, "Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran." (Riwayat Imam Ahmad)
Dari jam 9.00am sehingga 8.30pm 31 Jan. 2015, saya bersama dunia buku dan ilmu di dua lokasi berbeza. Bertemu guru sekolah, ibubapa dan anak-anak, raikan pembaca dan beramah mesra. Dunia ilmu ini menjadi peneraju tamadun bangsa, dalam erti membaca membawa bahagia. Saya rela berpesta buku. Subhanallah!

Sepagi sehingga tengah hari di Sek. Keb. Jalan Kebun, Klang. Bersama meraikan majlis ilmu sahabat penulis, Cikgu Wan Zayuhisham Wan Yusoff. Saya, Ustaz Adzhar Ibrahim dan Puan Suhana Salleh tidak malu-malu untuk raikan pertanyaan dan belian dari para cikgu, ibubapa dan murid-murid sekolah. Bagaikan pasar malam!
 
Usai program di Sek. Keb. Jalan Kebun, Klang, saya ke Pesta Buku Selangor 2015 (PBS2015), SACC, Shah Alam pula. Alhamdulillah, pengunjung ramai. Sempat bergambar dengan beberapa sahabat pembaca yang membeli buku-buku di gerai Galeri Ilmu.

Isteri Tuan Ishak Kasir berkata sambil menunjuk kepada naskhah novel Macedonia: Alexander Agung di atas meja, "Memang, tuan. Apabila saya membaca novel ini, saya dapat bayangkan aksi perang dan perkisahan yang diceritakan. Bagaikan layar di depan mata." (Foto bawah sekali)

Saya menyahut, "Alhamdulillah. Saya ada kaedah tersendiri dalam menulis, mencari kelainan." Kemudian saya ceritakan bagaimana proses penulisan yang digunakan. Mahu tahu apakah yang dinyatakan oleh pembaca kepada lima orang anak itu? Sudikan untuk dapatkan novel ibrah sejarah dalam tema membongkar Hijab Raja Zulqarnain dan dakyah Zionis-Yahudi di PBS2015.

Alhamdulillah. Jalan dakwah ini indah, sambil ditemani isteri Cef Lusiana Adnin. 

Berkawan kenal batas.
Berkasih kenal adab.
Ada benda boleh diceritakan.
Ada benda wajib menjadi rahsia.
Buka semua, maka batas dan adab dipecahkan 
... lantas dosa pun melata.

Pada program berkaitan buku dan ilmu di Sek. Keb. Bandar Anggerik, Seksyen 6, Shah Alam saya promosikan buku Berfikir Gaya Champion dan novel-novel. Salah satu yang cuba saya jual ialah buku  Himpunan 60 Kisah Jenaka  oleh sahabat Ustaz Adzhar Ibrahim.

Lalu tersemburlah suara nakal, “Tuan Web Sutera memang banyak cakap, Puan.”

Puan pensyarah yang sedang mendengar cerita saya berkata, “Seorang champion memang macam itu. Suka bercakap dan memberi maklumat.”

Saya tersenggih. Saya yakin dengan produk saya dan rakan-rakan. Dalam hati berdoa semoga orang tak salah anggap. Subhanallah!

Kata Iman Syafie, “Ilmu diperoleh dengan enam perkara: kecerdikan, kemahuan, usaha, menyampaikan ilmu kepada orang lain, belajar dalam tempoh yang lama dan memuliakan guru.”

Dalam buku Himpunan 60 Kisah Jenaka , ada tercatat: “Antara saham pahala yang dapat memberi bantuan kepada kita ketika di alam kubur adalah mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.”

Pada tarikh yang sama, yakni 24 Januari 2015, tim isteri saya Cef Lusiana Adnin berada di Kolej Sunway, Petaling Jaya, Selangor untuk sesi makan malam. Alhamdulillah, mutu masakan Cef Hana dan persembahan Lusiana Catering memperoleh pujian. Kata seorang wakil kolej, “Masakan awak sedap-sedap dan layanan juga baik. Kami akan panggil lagi.”

Bersama turun gelanggang menemui para pembaca demi satu matlamat - bahawa karya kreatif mampu mendidik anak bangsa.


Photobucket
top