Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Novel cinta Islami seperti Tautan Hati ini yang memfokuskan cinta kepada Allah dan Islam memang amat jarang ada dalam pasaran. Matlamat mesej yang hendak disampaikan dalam novel ini sangat baik dan patut dipuji, namun dialog yang meleret-leret bakal menjemukan pembaca.

Saya memang mencari novel Islami, tetapi sesuatu topik yang dibincangkan melalui dialog yang sangat panjang, tidak dapat dinafikan, sedikit sebanyak membuat saya melangkau membacanya.Saya pohon maaf kepada penulis, saudari Fatimah Syarha Mohd Noordin, kerana belum sampai halaman ke 200 saya rasakan penulis bagaikan menunjuk-nunjuk dalam perihal kefahaman dia mengenai Islam.


Bagi saya, sebuah novel Islami yang baik tidak perlu penghujahan yang meleret-leret dan berulangan, ditambah lagi dengan penggunaan istilah bahasa Arab yang kerap di sana-sini.


Jika matlamat khalayak ialah para ustaz dan ustazah, memang sesuai, pun mungkin ada kelemahannya. Sesebuah novel cinta Islami yang baik seharusnya mengambil kira khalayak pembaca yang tidak berpendidikan Arab. Bukankah novel juga harus digunakan sebagai medium untuk mendekati orang kepada kehidupan Islam yang syumul, dengan pendekatan yang tidak membosankan?


Satu lagi, seeloknya jangan dimuatkan ayat asal Quran bahasa Arab dalam sesebuah novel kerana ditakuti ia akan mencemar kesucian kata-kata Allah. Sebuah novel masih akan dianggap novel, justeru nanti akan diletak di atas lantai, di dapur atau di hujung kaki. Alangkah aibnya jika novel yang mengandungi ayat Quran asal seperti ini dilangkah atau berada di hujung kaki tatkala tidak sedar. Cukuplah kata-kata Allah dalam Quran dan kata-kata Nabi Muhammad diambil terjemahannya sahaja.


Mungkin kerana terlalu asyik hendak menyampaikan mesej keislaman kepada khalayak, penulis dan editor terlupa bahawa isi kandungan novel jangan menyerupai kitab agama. Novel tetap novel, walaupun apa genrenya.


Walau bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan pembacaan novel ini sehingga ke penghujung, walaupun mungkin saya akan melangkau lagi. Usaha yang amat baik, tetapi perlu dihalusi pendekatan di lain ketika. Saya pohon maaf kepada penulis dan penerbit, Telaga Biru Sdn Bhd.


Wallahualam.

5 comments:

Puteri Ezza said...

Assalamu'alaikum. Apa khabar? Dah lama tak berkunjung ke sini. Oh, ya! Saya tag saudara untuk satu program amal. Tak perlu keluarkan $. Cuma perlu luangkan sedikit masa. Untuk maklumat lanjut, rujuk pada entri bertajuk "TAGGED FOR CHARITY" pada blog saya ye. Jika ada kelapangan, supportlah...

ulasbuku said...

Benar tu Bang Sutera, tidak perlu letakkan ayat Al-Quran dalam novel, ini sudah melebih dan boleh jadi mencemarkan ayat-ayat suci tersebut.

Saya fikir sejak 'Ayat-ayat Cinta' tu berjaya, ramai pulak yang keluarkan novel 'Islami'. Macam lepas kejayaan Raihan dulu, macam-maacm kumpulan nasyid keluar. Lepas tu senyap balik, macam takder apa-apa berlaku.

Web Sutera said...

Batul tu sdr MXYPLTK, sejak terbit Ayat-Ayat Cinta, byk pihak terikut-ikut, walhal hasilnya bagai nak cepat sahaja. Hilang keindahan & seni sastera Islami. Bukankah penulisan novel itu seni? Lagi pula banyak plot & sub-plot macam terpaksa dibuat bagi memenuhi isi novel. Ada pembaca komen banyak plot yang tidak logik dan agak melampau. Alahai...Elok lagi Curahan Cinta Niagara oleh PTS.

Saya pun memiliki Ayat2 Cinta. Sudah beli satu lagi hasil Habiburrahman, kalau tidak silap, Cinta Cleopatra? Nampak macam menarik.

Anonymous said...

salam,

apa salahnya meraikan limpahan novel islamik, daripada membiarkan pasaran novel dilimpahi novel cinta khayalan semata-mata.

tentang kematangan novel tu, mungkin benar, tp galakan harus diberi. dalam kes saudari fatimah, mungkin beliau perlukan sedikit masa utk jadi lebih matang. saya tgh baca novel tautan hati ni, bg saya sedikit cacat cela tu takleh dibanding dgn hasil keseluruhan yg cukup baik.

tang ayat al-Quran tu bagi saya betul la...esp kat kedai2 buku. tp kalau di tangan pembelinya, rasanya org yg waras tak letak buku kat kaki. camane pun, amik la jalan selamat. tang ni mungkin saudari fatimah kena take note.

sekadar pandangan...

Web Sutera said...

Sdr baca,

Terima kasih atas komen. Secara khusus, mmg kita patut meraikan kehadiran novel2 Islami dlm pasaran.

Namun jgnlah bagaikan melepas batuk di tangga sahaja.


Photobucket
top