Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Buku yang baik isi kandungannya tidak semestinya akan dikenali ramai, lantaran faktor penerbit. Bukan maksud saya penerbit yang besar, tetapi penerbit yang kukuh kewangannya dan faham melaksanakan bisnes buku. Penerbit juga mesti tahu bagaimana untuk mempromosikan buku melalui kaedah yang pelbagai.

Dalam pada itu, ada juga segelintir penerbit buku yang mengambil sikap sambil lewa dalam aktiviti promosi buku. Bagi mereka, sudah cukup menerbitkan buku, hantar ke kedai mamak atau kedai buku, dan selepas itu mengharapkan penggemar buku membelinya. Kalau beginilah caranya bisnes mereka, alamat tidak lama akan lingkuplah penerbit tersebut. Saya bukan mendoakan, tetapi itu realiti yang harus kita ambil perhatian.


Ada
pula penerbit yang tidak memikirkan nasib penulis. Terdapat banyak kes penulis tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan penerbit, alih-alih buku penulis tersebut dicetak dan dijual. Bilakah masalah akan timbul? Pastinya masalah akan timbul apabila penerbit itu mempunyai masalah! Apa dia? Buku tidak laku atau penerbit gulung tikar. Mungkin bukan niat penerbit untuk menipu, tetapi lantaran kerugian dalam bisnes, tuan punya syarikat lari atau tutup kedai; penulis terkulat-kulat. Telah banyak kes yang saya ketahui sendiri ataupun melalui rakan-rakan dalam dunia penerbitan.

Ambil satu contoh. Dalam dunia buku tempatan, siapa yang tidak kenal dengan Dr Fatimah Busu. Novel beliau Salam Maria setebal 653 halaman, diterbitkan Absolute Press dengan persetujuan penulis, tetapi tanpa perjanjian hitam putih kedua-dua pihak.


Menurut laporan akhbar Berita Harian, “Dr Fatimah yang terpaksa menanti 22 tahun untuk melihat karyanya yang penuh dengan kontroversi itu berada di pasaran kerana ditolak oleh beberapa penerbit sebelum itu, bukan saja kecewa akhirnya kerana Salam Maria ‘diperkosa’ oleh editor, tetapi turut dinafikan royaltinya.”


Meskipun sudah berada di pasaran sejak 2004, sehingga kini pengarang terbabit tidak menerima walau sesen royalti daripada penerbit meskipun Salam Maria sukar ditemui di kedai buku dan lebih malang apabila penerbit menghilangkan diri tanpa dapat dikesan, meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan, laporan Berita Harian lagi.


Apa sudah jadi? Secara peribadi, saya mengenali tuan punya Absolute Press. Saya tidak sangka dia sanggup berbuat demikian terhadap Dr Fatimah Busu. Mungkin tiada niat sebelumnya, tetapi tindakan ‘melarikan’ diri dan menerbitkan buku Dr Fatimah tanpa perjanjian adalah satu kesalahan serius.


Pesanan saya kepada rakan itu, serahkan balik hak Dr Fatimah Busu!

Berkaitan:
SALAM MARIA: Bagaimana pemahaman Dr Engku Maimunah?

0 comments:


Photobucket
top