27 Muharram 1432H - Ahli jawatankuasa kerja PAS Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata beliau bersikap terbuka terhadap kritikan daripada mana-mana pihak berhubung buku terbarunya
Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme, yang dihasilkannya dengan hasrat untuk memperbaiki organisasi parti.
"Jika ia baik untuk parti saya berbangga kerana telah menjalankan tanggungjawab saya. Tetapi sekiranya tidak diterima sekalipun saya bersyukur kerana telah berusaha ke arah melihat masa depan PAS yang pastinya akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini," katanya kepada pemberita di Georgetown dua hari lepas.
Beliau berkata menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan segala kekeliruan yang timbul hasil daripada penulisan bukunya itu termasuk keputusan Dewan Ulama PAS Kedah yang menolak pandangannya dalam buku itu sepertimana yang disiarkan beberapa akhbar tempatan baru-baru ini.
Dewan Ulama PAS Kedah dalam satu kenyataan pada Rabu lepas (29 Dis. 2010) berkata dewan itu menolak tulisan Dr. Mujahid dalam buku itu yang antara lain mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".
Dr. Mujahid berkata buku tulisannya itu merupakan usaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan parti sejak lebih 50 tahun lepas. "PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinannya dan buku “Menuju Pas Baru” hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi parti yang perlu difikir oleh generasi muda.”
"Kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku tersebut boleh dijelaskan dengan mengadakan wacana dan diskusi yang sihat bagi membudayakan sikap keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza," katanya. (Laporan asal dari Bernama)
PAS, yang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, perlu mengambil langkah “menasionalkan” parti iaitu menjadikannya “parti yang berpijak dalam kerangka negara bangsa dan bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”
Dalam buku terbaru berjudul Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme, Dr. Mujahid Yusof berkata, parti Islam ini perlu menonjolkan ciri-ciri nasional yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang komitmennya terhadap tonggak negara bangsa.
Sinopsis
Kemunculan Lekuk Ketiga boleh berlaku dengan sendirinya, namun kemunculannya tanpa diurus dengan baik akan menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada ahli dan orang ramai, apatah lagi masalah dalaman yang berpontensi menimbulkan konflik tiada berkesudahan.
Isi kandungan dalam buku ini banyak berligar tentang fenomena konflik yang berlaku dalam sebuah parti politik Islam yang dikenali dengan nama PAS.
Dewan Ulama PAS Kedah tolak nuku tulisan Mujahid
Alor Setar, Kedah: Dewan Ulama PAS Kedah menolak buku bertajuk "Menuju PAS Baru" tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".
Naib ketua dewan itu Yusuf Mahmud berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli PAS. "Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli PAS terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata," katanya dalam satu kenyataan.