Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

1 Zulhijjah 1431H - Kedai buku online yang menjual buku-buku terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UPND) tidak faham bahasa. Bermotokan Kedai Buku Online Terulung di Malaysia, kedai buku ini dimiliki oleh penerbit yang sama. Dengan hampir 100 peratus buku-bukunya dalam bahasa Melayu, tetapi menggunakan banyak menu dan arahan online dalam bahasa Inggeris! Mengapa?

Saya tidak faham dengan pendekatan yang diguna pakai oleh UPND. Tidak faham bahasa atau pekak bahasa? Sudahlah desain antaramuka laman webnya hambar dan membosankan!


Saya bukan anti bahasa Inggeris, juga bukan tidak memahami apa yang ditulis. Tetapi apa salahnya nama-nama menu (seperti saya sertakan di sini yang berkaitan dengan kategori buku dan buku-buku terkini) menggunakan bahasa Melayu. Payah sangatkah atau memang UPND pekak bahasa?

Ke mana jati diri UPND dicampakkan? Atau pun pihak penerbit bahasa Melayu ini hanya ibarat sang ketam mengajar anak berjalan betul, sedangkan diri sendiri berjalan senget?
27 Zulkaedah 1431H - Merujuk kenyataan bekas calon BN, Ustaz Mohd Nor Idris mengenai YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat:
"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan...dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan.” (Malaysiakini)
Saya melihat perlu perkara ini diulas, agar tidak menjadi ikutan atau pegangan sesetengah pihak. Walaupun itu merupakan kenyataan peribadi, tetapi apabila disiarkan dalam media, saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan.

Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend golongan agama nanti.

Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini. Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat mengingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang? Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim.

Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan. Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai 'perasaan dalamannya' yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.

Nabi Muhammad SAW yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut:
"Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.

Jika beliau (Mohd Nor) ingin mengkritik atau menilai MB Kelantan sebagai tangan syaitan, beliau hendaklah mendatang hujah dan bukti kejahatan yang melayakkan dinilai sedemikian rupa. Jika ada hujah, ia diterima. Jika tiada, ia tuduhan tanpa dalil.

Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan.

Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut:
"Selemah-lemah hujah mereka (ahli bidaah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: 'Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini, buat ini'."
Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasauf. Di kalangan mereka ada yang berkata: 'Aku melihat Nabi S.A.W dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini. Dan memerintah aku sebegini'. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan"(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
"Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)
--- Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza).

Berkaitan: Nor Deris dituntut mohon maaf

25 Zulkaedah 1431H - Tiada siapa yang sempurna. Tidak seorang pun terlepas daripada kesilapan sepanjang hayatnya. Begitu jugalah dengan parti-parti politik. Keadilan pun tidak terkecuali.

Akan tetapi, kesilapan tidak boleh dijadikan alasan mutlak. Kesilapan yang sama jangan dibiarkan berlaku berulang-ulang kali, kerana sifatnya akan berubah. Dalam keadaan itu, kesilapan sudah bertukar menjadi kesalahan.


Di sini, tidak salah kalau kita buat kesimpulan bahawa Keadilan bukan sebuah parti yang sempurna. Seperti parti-parti politik yang lain, ia juga ada cacat dan celanya.

Tetapi, adakah Keadilan sama seperti UMNO? Pada hakikatnya, tidak! Perbezaan antara Keadilan dan UMNO laksana bumi dengan langit. Kedua-duanya tidak boleh dijadikan perbandingan. Tidak betul kalau meletakkan Keadilan dan UMNO dalam kategori yang sama. Asas kedua-duanya amat berbeda. Hakikat ini merupakan ABC dalam ilmu politik Malaysia hari ini.

Kalau ianya tidak dapat dimengerti, maka samalah seperti orang Islam yang tidak memahami hukum halal-haram antara arak (seperti brandy atau whisky) dengan susu kambing.
UMNO ialah sebuah parti politik yang tegak atas dasar perkauman. Bertentangan dengan Keadilan yang mengamalkan cogan perjuangan ‘keadilan untuk semua’.

Di sebalik slogan ‘Ketuanan Melayu’, dan kemudian salin kulit menjadi ‘1 Malaysia’ seperti yang ada sekarang, UMNO mengamalkan dasar perkauman yang sangat sempit. Matlamat pucuk pimpinan umno ialah untuk terus berkuasa dan meraih keuntungan diri sendiri bersama-sama dengan suku-sakat mereka. Jumlah kecil ini membiarkan negara dan rakyat terbanyak (termasuk golongan biasa dalam UMNO) terjebak ke dalam jurang perkauman yang amat dalam. Begitulah keadaannya semenjak lebih 50 tahun yang lalu.


Rakyat berbagai kaum telah terpedaya dan dipecahbelahkan. Dalam masa yang sama, jaguh-jaguh ‘Ketuanan Melayu’ sendiri berkongkalikong dengan tokeh-tokeh besar Cina dan India.


Sekarang, rakyat telah mula sedar dan menuntut perubahan yang radikal – bukan dari jenis yang lama atau recon. Rata-rata, mereka menolak politik perkauman yang sudah ketinggalan zaman. Keputusan PRU ke-12 adalah bukti paling nyata.


Menjelang PRU ke-13, Keadilan mesti bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dan rumit. Kesilapan masa lampau tidak boleh berulang lagi. Tetapi, saya sendiri dapat merasakan bahawa gejala negatif yang bersifat perkauman sedang menjalar dalam Keadilan. Apa atau di mana puncanya bukanlah persoalan di sini. Selaku anggota Parti, saya menaruh rasa amat cemburu dan bimbang terhadapnya. Lebih-lebih lagi, seluruh Parti sedang gairah untuk menawan Putrajaya.


Dalam suasana demikian, seluruh Parti patut lebih berwaspada terhadap musuh yang hendak menyerang kita dari dalam. Jumlah mereka mungkin tidak ramai. Tetapi dengan bantuan dari luar dan wang yang mereka turunkan seperti hujan, bumi yang gersang pun akan menjadi basah. Di situ, rumput-rumput liar dan lalang akan segera tumbuh dengan subur.


Senario di atas mengingatkan saya kepada cerita ‘kuda kayu’ (Trojan Horse) dalam mitologi Yunani yang terkenal!

(Oleh Syed Hamid Ali, Parti Keadilan Rakyat)


Pertanyaan aku, “Andai benar PKR bukan berperangai macam UMNO, BUKTIKAN SEGERA!"

Berkaitan:
PKR ada apa hal?: Sivarasa kata Zaid
Mesej cintaku terhadap saudara Anwar Ibrahim: Bermuhasabalah
Pemilihan pimpinan PKR: Aku semakin mual dan menyampah!
Aku sayangkan Islam, Malaysia dan Anwar Ibrahim

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top