Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Photobucket
Saya merupakan salah seorang yang menyahut seruan membaca di mana-mana. Saya berbangga kerana tim BACA@LRT mencipta sejarah. InsyaAllah, sejarah yang akan menukar riak kecil kepada gelombang umat Malaysia tanpa mengira ras dan pegangan kepercayaan.

Malaysia
hanya satu. Justeru itu raikan ilmu dan nyahkan budaya hedonis yang cemar!


Alhamdulillah, saya sebagai pecinta buku dan ilmu sudah amalkan membaca dalam LRT sejak lama dahulu. Tatkala masih bekerja makan gaji, pada awalnya saya berulang-alik dari Ampang ke Bukit Jalil dengan m
enaiki LRT. Selama itu juga saya mesti membawa beg galas. Tiada apa-apa dalam beg tersebut, hanya buku! Masa terluang lebih 1 jam dalam perjalanan pergi dan balik kerja saya penuhi dengan membaca.

Saya ada satu catatan yang ingin dikongsi bersama rakan-rakan. Tanggal 29 Januari lalu saya ada satu sesi katering di Bukit Beruntung, Rawang. Sebaik selesai majlis, saya bergegas pulang ke Kampung Pandan bagi membawa isteri ke Hospital Pusrawi untuk pemeriksaan pra-natal. Kandungan isteri saya memang sudah melebihi tarikh bersalin yang diberikan oleh doktor.

Seperti yang dijangka, isteri saya direkemen oleh doktor Daud untuk memasuki bilik bersalin. Dari jam 6.00 petang pada hari itu, isteri saya tidak bersalin sehinggalah keesokan harinya, 30 Januari 2010. Tepat jam 8,20 pagi, seorang insan baru dilahirkan dengan bangganya oleh chef Lusiana Catering.

Apa saya buat sepanjang berada dalam bilik bersalin menemani isteri tersayang? Selain melaksanakan kewajipan terhadap yang Maha Pencipta dan berdoa, saya membaca tiga buah buku serentak. Apabila isteri selamat bersalin pada 30 Januari dan dipindahkan ke wad post-natal, saya menyambung pembacaan.

Sela-sela masa yang dilalui selama tiga hari berada di Hospital Pusrawi tidak menjemukan. Selain melihat orang baru itu (foto umur 1 jam) dan mengawasi kesihatan isteri, tiga buah buku menjadi teman setia saya. Buku bertajuk Sedarlah Kamu Wahai Manusia: Antara Semalam dan Hari Ini saya khatam pada hari pertama lagi.

InsyaAllah saya membaca di mana-mana jua dan dalam situasi apa pun. Pada 20 Februari 2010, tim BACA@LRT akan membuat kejutan lagi dalam LRT. Kali ini tema ialah karya sastera.

*** Saya menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang majlis yang HALAL. Majlis yang tidak bermoral saya tidak akan layan! Saya tidak bertanggungjawab ke atas sifat HARAMnya sesuatu majlis tersebut.

Pelbagai menu boleh disediakan; masakan Melayu, Cina, India dan Barat, insyaAllah. Pilihan penyediaan secara bufet dan layanan VIP (hidang atau dome).

Karya Agung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti ketamadunan bangsa itu.

Sejak penubuhannya, Yayasan Karyawan telah berjaya menerbitkan 14 judul Karya Agung dan satu judul Buku Pengenalan Karya Agung. Justeru itu penerbitan Karya Agung tidak dapat dinafikan memberi penekanan terhadap aspek kualiti dalam menghasilkan karya yang meninggalkan impak mendalam dalam pengkaryaan. Dilaksanakan secara teliti dan melalui penyelidikan oleh para sarjana yang berwibawa dan pakar dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Senarai karya agung:


Sulalat al-Saltin
: Juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Naskhah tertua pernah ditemui ini dikarang di Johor pada tahun 1612, atas titah raja oleh Bendahara Paduka raja (Tun Seri Lanang). Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya.

Hikayat Hang Tuah: Dikarang pada sekitar tahun 1641 hingga 1736 ini adalah satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini: ”Takkan Melayu Hilang di Dunia’.

Tuhfat Al-Nafis
: Menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi kronologi, latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi, Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenanjung (Tanah) Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak (Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan di Betawi.
Kisah dongeng mungkin benar ianya sebuah mitos yang diceritakan sebagai unsur penglipur lara, juga sebagai nasihat komuniti setempat. Semua masyarakat dunia memiliki kisah dongeng yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ianya terus ditokok tambah serta mengalami evolusi. Benarkah kisah dongeng itu hanya dongengan semata-mata? Banyak sudut yang boleh diperhalusi dari sudut agama dan perkembangan budaya masyarakat setempat.

Bukan tujuan saya untuk berbincang berkenaan kebenaran kisah dengeng tersebut.
Cumanya saya ingin membuat sorotan berkenaan buku Cerita Dongeng Dari Eropah. Buku ini dijilid secara hard cover, diterbitkan oleh Penerbit Arowana Sdn. Bhd. dan diterjemah/disunting oleh saudara Sulaiman Zakaria.

Bahasa Melayu yang digunakan baik dan moden, sesuai untuk dibaca oleh kanak-kanak sekolah. Walaupun mungkin ianya sekadar mitos, namun banyak unsur nasihat dan pengajaran moral boleh diambil teladan. Semua cerita dongeng mengisahkan kejadian ajaib dan menakjubkan. Walaupun Penerbit Arowana mungkin sebuah penerbit Cina, usaha ini harus dipuji kerana men
ggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang baik.

Cerita dongeng Eropah bersangkut paut dengan sejarah pelayaran manusia di masa lalu. Penglipur lara membawa cerita Asia ke Eropah dan pelayar Eropah membawa dongengan komunti mereka ke benua Asia.


Pastinya kebanyakan cerita dongeng ini telah mengalami asimilasi setempat dan berubah mengikut peredaran masa. Dilaporkan bahawa kisah-kisah dongeng ini pernah dikritik kerana dikatakan tidak memiliki nilai moral yang murni bagi dicontohi oleh kanak-kanak. Walaubagaimanapun, karya genre ini terus berjaya meraduk zaman.


Sementara itu, buku Puteri Penawar Hati yang diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. pula menyajikan cerita-cerita yang menonjolkan sifat, sikap dan watak puteri-puteri Islam yang begitu menyentuh hati. Puteri sering dikaitkan dengan seorang yang dihormati dan dipandang mulia oleh ramai orang. Pasti setiap wanita mahu menjadi puteri yang disenangi oleh ahli keluarga, masyarakat, negara dan agama.


Penggunaan bahasa Melayu juga baik; kontemporari dan Bahasa Melayu Tinggi. Buku ini menghimpunkan 31 kisah srikandi untuk kanak-kanak Islam khususnya.


P/s: Kedua-dua buku ini saya baca dari kulit ke kulit.
Saya membelinya untuk anak-anak.
(Komentar ini ditulis pada 11 Mac 2007)

Alhamdulillah, syukur hanya pada Allah, Tuhan Semesta Alam.
Setelah hampir dua tahun membelinya, baru saya selesai menghabiskan pembacaan novel ketiga bagi trilogi Tombiruo, iaitu Tombiruo Terakhir hasil karya idea Ramlee Awang Murshid, dalam masa lima hari.

Trilogi tersebut merangkumi tiga buah novel yang tebalnya melebihi 500 muka
surat setiap satu; Tombiruo, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Dua novel yang mendahului Tombiruo Terakhir saya sudah baca hampir setahun yang lalu. Saya selesai membaca dan menghayatinya sebaik sahaja habis membaca novel beliau yang lain, bertajuk Ranggau (juga fiksyen yang menarik).

Saya tidak ingin menyentuh mengenai watak, plot atau tragedi dalam novel-novel ini. Yang ingin saya perkatakan ialah kecintaan Ramlee dalam watak Ejim atau Amaruddin terhadap hutan Keningau ciptaan Tuhan di Sabah. Ianya juga benar bagi hutan-hutan lain yang ada di seluruh dunia.


Dari mula trilogi ini, melalui novel pertama Tombiruo, Ramlee telah menerapkan nilai murni dalam memelihara warisan hutan supaya ianya kekal untuk tatapan generasi mendatang. Hutan ciptaan Tuhan tidak wajar dicemar oleh pelbagai bentuk kecemaran yang dilakukan oleh manusia.


Hutan, bukit dan gunung merupakan tulang belakang bumi yang menjadi akar tunjang supaya bumi atau tanah tetap teguh tidak musnah. Perkara memelihara alam sekitar ini memang menjadi kewajipan manusia untuk menjaganya, kerana ianya juga hidup.

Dalam kitab suci al-Quran pun Tuhan ada menyebutkan perihal pentingya hutan, bukit dan gunung dipelihara dari segala bentuk pencemaran, sama ada secara fizikal atau bentuk yang lain.

Surah an-Nabaa’, ayat 7, Allah berkata, “dan gunung-ganang untuk pengaman (pasak)”.

Surah an-Naml, ayat 88, Allah berkata, “Dan kamu lihat gunung-ganang itu, kamu kira ia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan seperti berjalannya awan. (Begitulah) ciptaan Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan kukuh dan rapi. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top